Amalan

Baru Je PM Umum Parlimen Bubar Hari Ini, Sekali Agong Menzahirkan Rasa Kecewa

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman khas itu yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang ini menerusi saluran televisyen dan medial sosial.

“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah
bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi
membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Kata beliau, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” katanya.

Perdana Menteri berkata, proses itu berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya

Agong kecewa situasi politik, tiada pilihan selain perkenan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik negara dan tiada pilihan selain memperkenankan permintaan untuk Parlimen dibubarkan.

Perkara itu disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Fadil juga berkata Agong menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar SPR menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November 2022.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen dalam perutusan yang disiarkan pada jam tiga petang tadi.

Susulan itu, PRU15 perlu diadakan dalama tempoh 60 hari. SPR dijangka akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, tarikh undi awal dan tarikh mengundi.

Sementara itu, Ahmad Fadil juga berkata Agong menegaskan negara yang kukuh penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan.

Dia juga memaklumkan Agong berkenan menerima menghadap Ismail Sabri semalam, di mana perdana menteri mengemukakan permintaannya untuk pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang

termaktub di bawah Perkara 40(2X(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan perdana menteri bagi pembubaran Parimen ke-14,” katanya lagi.

kredit: mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *