Uncategorized

Dr Mahathir Khuatir Kemampuan Anwar Urus Negara, Ini Reaksi Anwar Bila Dapat Tahu Tun M Cakap Macam Tu

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu lagi polemik ‘permusuhan’ atau ‘hubungan pasang-surut’ antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan, sebaliknya semua pihak perlu menerima hakikat bahawa rakyat sudah memberi mandat kepadanya untuk menerajui kerajaan.

Tanpa menyatakan secara khusus mengenai status hubungannya dengan Tun Dr Mahathir, Anwar berkata tumpuan beliau ketika ini adalah melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dan enggan melayani ‘kerenah’ atau ‘celoteh’ yang tidak relevan daripada negarawan itu.

“Belum ada apa-apa hubungan (situasi terkini) antara saya dengan beliau… saya pun hanya tumpu pada kerja saya (sebagai Perdana Menteri) dan saya tidak sangat melayani kerenah atau celoteh dia yang saya fikir tak begitu relevan.

“Rakyat sudah memilih dan kita diberi mandat untuk menjalankan kerja, saya tumpukan ke arah itu… tapi saya juga tidak mahu ini dianggap permusuhan (dengan Tun Dr Mahathir) berterusan… tidak perlulah,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan temu bual televisyen Indonesia, Nation Hub: Special Interview Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di saluran CNBC Indonesia TV, hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab persoalan mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu yang sering menjadi tumpuan dan polemik pelbagai pihak, khususnya selepas

Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Temu bual khas itu dirakam ketika lawatan rasmi Anwar ke Indonesia selama dua hari pada 8 dan 9 Januari lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai suasana politik Malaysia, Anwar akui keadaan politik di negara ini berbeza dengan Indonesia dan beberapa negara lain kerana permusuhan politik Malaysia disifatkannya sebagai ‘terlalu tajam’ yang mungkin disebabkan warisan cara kepimpinan Tun Dr Mahathir.

“Siapa yang tidak mendukungnya (Tun Dr Mahathir) dianggap musuh… dan situasi ini (permusuhan politik yang tajam) berkembang sehingga kini.

“Tapi sekurang-kurangkan kita (Kerajaan Perpaduan) cepat bertindak (ubah kepada cara baharu) dengan memikirkan soal negara, masa depan dan kestabilan politik hingga berjaya membentuk penggabungandengan pendirian tatakelola baik dan menolak k0rupsi dan prinsip ini telah disepakati.

“Saya harap pembangkang kita (di Malaysia) juga tidak terlalu mempertajamkan (permusuhan) dan saya juga minta mereka hindari daripada mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengk4firkan orang…jika ini dapat diringankan, kita boleh berdialog dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, dalam soal kritikan rakyat terhadap kerajaan khususnya golongan muda, Anwar berkata rakyat tidak boleh dipersalahkan sebaliknya ia adalah cabaran kepada kerajaan kerana rakyat sentiasa menilai prestasi Kabinet pimpinannya.

Bagaimanapun tegas Perdana Menteri, “ketajaman politik” sehingga mengk4firkan orang lain harus dibendung dan malah jika terdapat anak muda yang cenderung dengan ekstremisme juga perlu dibendung dengan sifat kasih sayang.

“Misalnya, saya lihat nada anak muda juga pada masa sekarang dengan bulan lalu, sangat berbeza… ertinya mereka mengamalkan sikap terbuka dan tidak terkongkong dengan pemikiran yang jumud atau konservatif dan mereka juga menilai kita,” katanya.

Dr Mahathir khuatir kemampuan Anwar urus negara

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya memimpin Malaysia selaku Perdana Menteri untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Bekas Perdana Menteri itu khuatir dengan kemampuan Anwar menghasilkan strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, apatah lagi fokus Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, ia terbukti berdasarkan pretasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada 1997.

Selain itu, beliau mendakwa Anwar yang juga selaku Menteri Kewangan ketika itu, gagal mencari jalan penyelesaian apabila krisis kewangan melanda dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang berisiko menyebabkan Malaysia muflis.

“Pada masa saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), diberi tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi Menteri Kewangan.

“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit itu dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia. Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.

“Tetapi Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya sama ada Anwar memiliki keupayaan untuk menakhodai Malaysia berdepan cabaran kemelesetan ekonomi yang diramal melanda dunia tahun depan.

Dr Mahathir berkata, jika dibenarkan Anwar berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan ketika krisis berkenaan.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu mengakui khuatir dengan kebolehan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana berdasarkan pengalaman lampau, Presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.

“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil.

“Rakyat masih tidak senang dengan keadaan negara. Banyak masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Anwar,” katanya.

Dr Mahathir turut ditanya sama ada benar tanggapan pelbagai pihak bahawa beliau sememangnya tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

BH: Ramai pihak berpandangan Tun memang enggan Anwar jadi Perdana Menteri. Betulkah dan mengapa?

Dr Mahathir: Itu terpulang kepada rakyat dan parti untuk memilih dia. Tapi saya khuatir dengan kebolehan dia, sama ada dia boleh pimpin di waktu kita menghadapi banyak masalah.

kredit: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *