Semasa

Selepas Rayhan Kabir, Muncul Pula Wajid Ali, warga Pakistan Cerita Layanan Sebenar Kepada Warga Asing

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — “Semua bagus. Doktor bagus. Makan bagus. Semua okey,” kata Wajid Ali, warga Pakistan yang menerima rawatan COVID-19 di sini.

Beliau hanya mengetahui dijangkiti virus itu pada Mac.

Pemeriksaan untuk memenuhi syarat syarikat penerbangan, menjadi mimpi buruk Wajid apabila 12 lagi anggota keluarganya turut didapati positif, termasuk isteri dan empat anaknya.

Mengimbau kembali detik itu, peniaga berusia 31 tahun itu berkata ambulans datang ke rumahnya di Masjid India dan kemudian mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur, dan dirawat selama lebih tiga minggu.

“Kami dilayan sangat baik. Doktor dan jururawat sangat baik terhadap saya dan anak-anak saya,” katanya kepada Bernama, sambil menambah mereka juga diberi makanan dan menukar pakaian setiap hari sepanjang menerima rawatan.

Namun, ayahnya meninggal dunia awal April selepas dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Ketika ayah saya dirawat di ICU, doktor sentiasa memaklumkan mengenai perkembangan terkini mengenai keadaan ayah sehinggalah ayah saya meninggal dunia,” kata Wajid.

Fasih bertutur dalam bahasa Melayu, beliau berkata 12 lagi anggota keluarganya ditawarkan tempat kuarantin apabila semuanya didapati negatif selepas menerima rawatan terakhir mereka.

“Tetapi pada kami lebih mudah untuk keluarga besar seperti kami memilih tinggal di hotel dengan perbelanjaan sendiri bagi menjalani kuarantin selama dua minggu,” katanya.

Wajid yang menetap di sini selama 12 tahun, gembira kerana kerajaan Malaysia menyediakan rawatan percuma untuk COVID-19 walaupun kepada warga asing sepertinya.

Beliau berkata kos ujian saringan COVID-19 di hospital swasta mencecah RM580 setiap seorang.

Sementara itu, Mohd Humayun dari Bangladesh turut berkongsi maklum balas positif ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Mohd Humayun yang bekerja di Malaysia selama lima tahun disahkan positif COVID-19 ketika menjalani saringan untuk kluster Pasar Old Town PJ, tempat beliau bekerja.

“Mereka jaga kami dengan baik. Bagi makan, dua tiga hari kemudian datang periksa,” katanya.

Rakan senegara Kamal mengesahkan apa yang dikatakan Mohd Humayun.

“Sebelum dia balik, kami buat panggilan video. Saya tanya, mereka jaga macam mana? Dia cakap, mereka jaga dengan baik. Ubat tak banyak, rehat banyak, tak ada kacau,” katanya yang menggambarkan ia bagaikan satu percutian.

Beliau menambah “Bila ada saringan COVID-19, baru mereka tahu ada masalah.”

Sementara itu, rakan mereka, Zahid yang tinggal berdekatan Pasar Lama PJ ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan di Jalan Othman, berkata majoriti rakyat Malaysia melayan mereka dengan baik hanya segelintir bertindak sebaliknya.

“Ada yang salahkan orang asing yang duduk di sini jadi punca COVID-19. Tetapi di Malaysia…orang ramai, doktor, hospital semua tolong kami, jaga kami dengan baik, tolong kami untuk cepat sembuh,” katanya.

Zahid berkata pekerja asing yang terjejas akibat langkah pencegahan untuk membendung penularan virus, turut menerima sumbangan daripada rakyat Malaysia, rakan dan keluarga.

“Sikit sahaja orang yang layan kami teruk. Yang lain semua jaga kami dengan elok,” katanya.

Gelar Al Jazeera sebagai Al Jahiliyah, pengacara diambil tindakan – Menteri

Dalam perkembangan lain Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata tindakan telah diambil terhadap kejadian pengacara program bual bicara Bernama TV mengutuk stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera dengan memanggilnya “Al Jahiliyah.”

“Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu. Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu.

“Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil,” katanya pada hantaran di Twitter.

Ketika mengakhiri program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Isnin lalu di stesen agensi penyiaran negara itu, pengacara Herleena Pahlavi berkata: “Al Jazeera, ‘you shut up’.”


Kejadian itu berlaku di tengah laporan Al Jazeera mengenai dakwaan penganiayaan pendatang di negara ini semasa wabak Covid-19, yang menimbulkan kemarahan kerajaan.

Polis telah memulakan siasatan terhadap wartawan terlibat dalam laporan itu manakala Jabatan Imigresen sedang menjejaki pendatang yang diwawancara di dalam dokumentari Al Jazeera.

Pahlavi turut mendakwa laporan Al Jazeera itu kurang beretika.

“Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang.

“Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,” katanya.

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menegaskan kerajaan tidak mendiskriminasi pekerja asing ketika wabak Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *