Semasa

Sudah dibeli. Teruja Shaheizy Sam dtg tgk RX-Z Millenium RM70K

“SAYA sangat teruja apabila wakil Shaheizy Sam menghubungi saya dan memberitahu pelakon itu mahu berjumpa serta melihat sendiri motosikal RX-Z Millenium itu,” kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27, yang tular di media sosial selepas mahu menjual RX-Z Millenium pada harga RM70,000.

Putera Amirul berkata, selepas kisah motosikalnya dilaporkan akhbar dan menjadi tular, banyak pihak termasuk peminat RX-Z yang menghubunginya untuk berjumpa.

“Bagaimanapun tidak semua permintaan mereka dapat saya penuhi dan menunjukkan motosikal RX-Z Millenium itu kerana faktor keselamatan.

“Namun saya tidak mampu menolak apabila pelakon terkenal dan diminati, Shaheizy Sam berhajat berjumpa saya dan melihat motosikal yang tular di media sosial itu.

“Memang seronok dapat berjumpa pelakon dan lebih manis apabila dipelawa berlakon bersama Shaheizy Sam dalam video pendek terbitannya di Pantai Teluk Lipat, Dungun,” katanya hari ini.

Dia berkata, motosikal RX-Z Millenium itu sudah dibeli oleh seorang ahli perniagaan dan pembeli itu sudah membayar wang pendahuluan sebanyak RM30,000.

Dalam tempoh terdekat baki RM39,000 lagi akan dibayar dan motosikal itu akan diberikan kepada pemilik baru itu.

“Jika diikutkan saya hendak jual RM70,000 tetapi memandangkan pembeli sangat berminat dan datang daripada jauh seterusnya membabitkan kos pengangkutan saya bersedia turunkan harga kepada RM69,000,” katanya.

Menurutnya, dia dalam proses menyiapkan motosikal RX-Z Boss keluarkan 1994 dan sudah membelanjakan lebih RM35,000 bagi mengumpul komponen barang baru tetapi stok lama (NOS) untuk memastikan ia 100 peratus sama seperti motosikal yang baru keluar dari kilang.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27, dari Kampung Paka ingin menjual motosikal RX-Z Millenium keluaran 2000 dengan harga RM70,000 selepas mendakwa membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih motosikal itu dengan menukarkan pelbagai komponen baru dan asli.

Berikut reaksi dari netizan

“Baik pi meminang uqasha senrose…rm 70k…tido pun lena…bau shampoo…sblm tido boleh manja2…

” Sembang puluh2 k je.. Pengaruh drama tv3.. Dari beli tu baik beli ducati. Bkn dengki bkn iri hati. Cuma tak bodoh.. Haha

“perghh,70k harganya,kerana minat,esok boleh cerita kat anak cucu betapa “bijaknya” atok berbelanja masa muda2 dulu,silap2,cucu pon tepok dahi

Memang saya jual RX-Z Millenium RM70,000′ – Putera Amirul

HARGANYA memang relevan, bukan rekaan, RM70,000 itu murah jika dibandingkan dengan kesukaran saya menghasilkan RX-Z Millenium mengikut spesifikasi asal motosikal itu,” kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27.

Video penerangan mengenai motosikal RX-Z Millenium berharga RM70,000 itu tular di Facebook (FB) baru-baru ini sehingga mendapat 1.3 juta tontotan dengan 14,000 perkongsian selain 6,800 tanda suka dan 15,000 komen.

Putera Amirul yang juga mekanik berkata, dia membeli motosikal keluaran 2000 daripada kenalan pada harga RM10,000 pada 2017.

“Bagaimanapun, saya sudah membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih motosikal itu dengan menukarkan pelbagai komponen baru dan asli.

“Semua komponen pada motosikal itu asli dan baru serta dihasilkan 100 peratus sama seperti motosikal yang baru keluar dari kilang.

“Walaupun keluaran 2000, ia menjadi antara model paling diminati dan sukar diperoleh,” katanya ketika di rumahnya di Kampung Paka, hari ini.

Katanya, komponen asal paling mahal adalah ‘cover set’ berharga RM10,000 dibeli daripada pengumpul motosikal RXZ dari Kelantan.

“Saya menjelajah ke bengkel alat ganti motosikal di seluruh Malaysia untuk mendapatkan pelbagai komponennya, dan sebahagiannya dibeli dari luar negara melalui laman e-bay.

“Komponen yang dibeli mesti menepati piawaian termasuk mempunyai tag, atau dengan kata lain, barang baru tetapi stok lama (NOS),” katanya.

PUTERA Amirul (dua dari kanan) bersama rakan peminat RX-Z dan motosikal RX-Z Millenium berharga RM70,000 yang tular di FB. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

Menurutnya, dia sengaja meletakkan harga tinggi bersesuaian dengan nilai motosikalnya dengan harapan tiada sesiapa yang ingin membelinya.

Namun, katanya, peminat dan pengumpul RX-Z tetap menawarkan harga tinggi untuk membelinya.

“Sebelum video motosikal itu menjadi tular, ada peminat RXZ dari Johor menawarkan harga RM55,000 tetapi selepas tular di media sosial, seorang individu dari Kuala Berang ingin membelinya dengan harga RM65,000.

“Tetapi saya belum bersedia untuk menjualnya kerana masih sayangkannya.

“Selain itu, saya ingin menyertai Pertandingan Restore Original RX-Z Millenium pada Program RX-Z Members tahun hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima selepas video penerangannya tular, katanya, dia tidak kisah dan tidak menyalahkan warga net kerana menyifatkan harga motosikalnya itu tidak masuk akal.

“Nilai motosikal RX-Z itu hanya diketahui ahli dan peminatnya sahaja, malah ia bukan digunakan untuk berkonvoi.

“Sebaliknya, khas untuk menyertai pertandingan ‘Restore’ yang dianjurkan dalam komuniti peminat dan pengumpul RX-Z di seluruh negara.

“Sesiapa yang membelinya pasti akan menyimpannya sahaja dan jika bernasib baik boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya yang pernah menjadi naib juara Pertandingan Restore Original RXZ Millenium pada Program RX-Z Members 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *