Semasa

Wanita 64 tahun dikurniakan anak pertama selepas percubaan selama 47 tahun

BAGI wanita yang mengalami masalah kesuburan selain kewangan dan pemakanan kebiasaannya mereka berdepan cabaran masa. Ini kerana peluang untuk hamil semakin berkurang apabila usia meningkat 35 tahun ke atas.

SEORANG wanita warga Uganda mengejutkan para doktor apabila berjaya memperoleh anak menerusi satu kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF), meskipun menjangkau usia persaraan.

Safinah Namukwaya telah lama ingin mempunyai seorang anak sejak kahwin buat pertama kali pada 1973.

Namun, malangnya dia mengalami kehamilan ektopik yang mana telur membiak di luar rahim, sebelum perkahwinan tersebut gagal.

Penduduk Kampung Nunda di Kabupaten Lwabenge, Kabupaten Kalungu di Uganda itu berkahwin lagi pada 1996 dan rindu untuk menyambut anak bersama suaminya, Badru Walusimbi.

Namukwaya kemudian bimbang harapannya untuk mempunyai anak berakhir apabila mencapai putus haid ketika berusia 45 tahun.

Bagaimanapun, pada Mac tahun lalu, dia didorong oleh para doktor di Hospital Antarabangsa dan Pusat Kesuburan Wanita di Bukoto, Kampala, bahawa IVF boleh menjadi pilihan.

Kini, pada usia 64 tahun, Namukwaya dengan senang hati menyambut anak pertamanya, seorang bayi perempuan bernama Sarah.

Dr Edward Tamale Ssali, pengarah Hospital Antarabangsa dan Pusat Kesuburan Wanita, menjelaskan bagaimana doktor membantu ibu mengandung.

Teknik yang digunakan

Bercakap kepada Daily Monitor, beliau berkata: “Apa yang kami lakukan adalah, sel telurnya disenyawakan di luar tubuhnya dan ketika embrio terbentuk, kami memasukkannya kembali ke dalam rahimnya.”

“Dia bernasib baik kerana percubaan pertamanya menghasilkan kehamilan yang berjaya kerana beberapa wanita telah melakukan beberapa percubaan dan gagal,” katanya.

Berkongsi kegembiraan menjadi ibu buat pertama kali, Namukwaya berkata: “Saya benar-benar teruja. Ia sukar dipercayai tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menjadi ibu dengan rahmat-Nya.” – Daily Star

Sedikit info mengenai IVF

IVF adalah proses persenyawaan dengan mengeluarkan telur dari badan wanita, mengambil sampel sperma dan kemudian menggabungkan telur dengan sperma secara manual di makmal.

Kaedah ini pertama kali diperkenalkan pada akhir 1970-an, sekali gus membawa harapan kepada wanita yang tidak dapat mengandung secara semula jadi disebabkan oleh penyumbatan atau kekurangan kedua-dua tiub Fallopio.

Pada 90-an, suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) dicipta untuk menyuntik sperma ke dalam telur. Teknologi ini merevolusikan rawatan untuk lelaki dengan masalah sperma yang kurang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *