Amalan

Dr Khairuddin pesan rakyat kawasan dia tak perlu angkat bendera putih, tapi ini yg perlu mereka buat

Ahli parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta penduduk di kawasannya tidak mengangkat bendera putih bagi meminta bantuan.

Sebaliknya, dia meminta mereka menghubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri yang berkenaan untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi.

“Rakyat saya di Kuala Nerus tidak perlu angkat bendera putih. Hubungi sahaja pasukan kerja saya. Cukuplah pasukan kami mengetahui kesusahan anda.

“Tugas anda ialah meminta bantuan apabila diperlukan dan tugas kami ialah membantu anda.

“Terkini kami telah menerima sebanyak 7,300 permohonan bantuan dalam masa sebulan Jun ini dan sebanyak 5,810 telah menerima bantuan mereka menerusi JPKK masing-masing,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.

Wakil dari DUN Buluh Gading boleh menghubungi di talian 013-9267731 (ustaz Yusrizal), DUN Tepoh di talian 013-9287731 (Yusof), DUN Bukit Tunggal di talian 019-9367731 (ustaz Azzam) dan DUN Seberang Takir di nombor 019-2937731 (Azmi).

Manakala mereka yang merupakan perantau di luar Kuala Nerus boleh menghubungi 019-2917731 (Amir).

Sebelum ini, beberapa pemimpin PAS seperti ahli parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar menganggap tindakan mengibar bendera putih sebagai tanda mengalah.

Kenyataan itu hadir ketika sejumlah pengguna media sosial menggerakkan kempen kibar bendera putih.

Kempen itu meminta pihak yang terputus bekalan makanan menaikkan bendera putih di rumah masing-masing untuk membolehkan mereka dibantu.

Kempen itu juga bagi memberi isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan segera

‘Tidak wajar kibar bendera putih jika perlu bantuan’ – Mufti

Georgetown: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi bagi menagih bantuan.

Tindakan berkenaan dianggap sebagai tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi umat Islam khususnya, perlulah memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan serta kesempitan hidup adalah dilarang.

Katanya, seseorang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kepada kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT.

“Masih banyak cara lain bagi mendapat bantuan dalam mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh pandemik ini.

“Selain bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, terdapat juga daripada badan dan agensi tertentu seperti Pusat Pengurusan Zakat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta selain sumbangan individu,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Wan Salim mengulas mengenai kempen kibar bendera putih di hadapan rumah sekiranya terputus bekalan makanan.

Kempen yang disambut baik pengguna media sosial itu bermatlamat membantu individu yang terkesan akibat Covid-19 namun malu menyatakannya secara terbuka.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pihaknya juga menyeru supaya usaha intensif dan agresif perlu ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib bagi membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan terjejas ini.

Syarikat GLC dan swasta juga diseru supaya menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terbabit.

“Wakil rakyat di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara golongan memerlukan dengan pihak yang memberi bantuan.

“Kemungkinan mereka ini tidak tahu cara atau kaedah bagi memohon bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Mufti Pulau Pinang perjelas salah faham isu kibar bendera putih

Georgetown: “Tidak terlintas sama sekali di hati saya menghalang tindakan kibar bendera putih jika ia difikirkan sebagai cara berkesan dalam membantu rakyat yang terputus bekalan makanan.”

Begitu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan salah faham masyarakat terhadap pandangannya berkaitan kempen kibar bendera putih.

Wan Salim berkata, beliau menyatakan pandangan tidak bersetuju dengan tindakan mengibar bendera putih semata-mata didorong kebimbangan bahawa ia boleh menggugat akidah orang Islam.

Katanya, perkara berkenaan boleh berlaku jika tindakan itu bermotifkan sikap berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan tidak sabar terhadap ujianNya.”Kenyataan saya sebelum ini juga bertujuan memperbetulkan persepsi yang salah terhadap sebahagian rakyat terutama mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bahawa pihak berkenaan mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap mereka.

“Sebaliknya, nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sedia dibantu Kerajaan Persekutuan dan negeri di samping agensi dan institusi tertentu termasuk Pusat Zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Wan Salim berkata, dalam kenyataannya semalam, beliau turut menggesa pihak berkuasa dan agensi kerajaan bertindak lebih agresif dalam usaha membantu golongan terjejas pendapatan dalam tempoh PKP.

Menurutnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta juga diminta tampil membantu bagi meringankan kepayahan hidup golongan yang terjejas berkenaan.

“Justeru, saya ingin memohon kemaafan daripada semua pihak atas kekeliruan yang timbul daripada kenyataan saya (semalam) mengenai isu ini,” katanya.

Semalam, Wan Salim menerusi kenyataannya dipetik berkata, Jabatan Mufti Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan kibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup kerana dilihat sebagai satu tindakan tidak wajar.

Tindakan itu juga mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi dan ia berlawanan dengan umat Islam yang dilarang berputus asa atau cepat mengalah kepada kesusahan hidup.

sumber: mkini, sinar harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *