Amalan

Jual nasi bajet RM3.50 tapi masih ramai tak mampu, sekali ini Kak Shima buat

PANDEMIK Covid-19 yang menyerang sejak tahun lalu memberikan impak yang hebat buat majoriti rakyat di negara ini.

Sebilangan besar kehilangan pekerjaan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menjejaskan sumber pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing.

Jika ditelusuri di media sosial, ada sahaja perkongsian daripada netizen mengenai kisah sedih yang berlaku dalam realiti kehidupan ketika ini.

Ada yang terpaksa bergolok gadai, dihalau keluar dari rumah sewa, malah yang paling sedih, tidak mempunyai wang untuk mengisi perut.

Terkesan dengan situasi itu, seorang wanita tampil dengan inisiatif sendiri demi meringankan beban mereka yang terjejas dengan PKP sejak ia dilaksanakan setahun lalu.

Menerusi hebahan yang dimuat naik di Twitter, Nurul Hashima Abu Aris mempelawa mana-mana individu untuk mendapatkan nasi percuma di gerainya di Kota Damansara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebenarnya saya buat nasi bajet ni sejak PKP tahun lalu. Ideanya spontan saja selepas saya bersembang dengan suami. Ia berdasarkan pengalaman saya sendiri yang mana ketika itu saya beli nasi dan lauk sedikit tapi harganya RM7.

Gerai Nurul Hashima di yang terletak berhadapan dengan Surau Al-Falah di Seksyen 6, Kota Damansara.

“Bagi saya, tak semua orang boleh bayar RM7 untuk beli nasi. Saya sememangnya dah buat bisnes penghantaran makanan sejak lapan tahun lalu, jadi saya buka satu gerai nasi bajet dengan harga RM3.50 sebungkus.

“Ada nasi putih, sejenis lauk dan juga ulam timun Jepun. Tapi niat saya memang nak membantu… kebanyakannya saya bagi percuma saja kalau ada yang tak cukup duit atau nampak memerlukan.

“Sekarang ni PKPD pula… lagilah ramai yang terkesan. Jadi saya niat siapa yang datang gerai, saya beri percuma saja. Saya tak letak siapa pun orang sasaran. Siapa pun boleh datang, jangan segan-segan,” kata wanita berusia 40 tahun ini.

Jangan segan-segan. Datang je ambil nasi free tapi PKPD ni terhad kepada kawasan berdekatan sahajalah nampaknya.

Menurut Nurul Hashima atau lebih dikenali sebagai Kak Shima, gerai tersebut yang terletak berhadapan Surau Al-Falah Seksyen 6, Kota Damansara akan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula pada pukul 5.30 petang.

Tambah ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, dia akan menyediakan sebanyak 80 hingga 90 bungkus makanan setiap hari.

Tambah Kak Shima, dia begitu tersentuh apabila mendengar kisah individu yang mengunjungi gerainya sebelum ini.

“Ada yang datang nak beli nasi dua bungkus. Saya nampak masa dia nak bayar, ada sekeping duit RM10 saja dalam dompetnya. Saya beri percuma tiga bungkus nasi dan minta dia simpan duitnya untuk beli keperluan lain.

“Pernah ada seorang anak muda datang kedai selepas kerja nak beli sebungkus nasi. Terperasan dalam dompetnya ada duit kertas RM1 dua keping saja dan duit syiling. Saya beri nasi percuma tapi dia berkeras nak bayar.

Nurul Hashima mengambil inisiatif menjual nasi bajet sejak tahun lalu kerana menyedari ramai penduduk bandar yang kurang berkemampuan.

“Saya suruh simpan duit tu sampai gaji, dan pelawa dia datang gerai selepas balik kerja untuk ambil nasi. Satu hari tu, dia datang beli nasi dan bayar RM5 dan minta saya simpan baki. Banyak lagi cerita sedih sebenarnya,” katanya lagi.

Tidak menyangka sama sekali ciapannya mendapat perhatian, Kak Shima berkata dia langsung tak berniat untuk mencari populariti atau pujian ramai, sebaliknya mahu menyediakan ‘saham’ untuk akhirat kelak.

“Jadi saya pelawa kepada sesiapa sahaja, jangan segan-segan. Datang je ambil nasi free tapi PKPD ni terhad kepada kawasan berdekatan sahajalah nampaknya.

“Saya bukan tak mahu terima kalau ada pihak yang berminat nak sumbang juga, tapi amanah orang ni agak berat. Jadi biarlah saya guna dana sendiri sahaja biarpun kecil-kecilan,” katanya lagi.

Apa kata anda? Kongsikan bersama kami

sumber: mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *