Amalan

Muncul kenyataan ‘semua MP BN’ sokong Muhyiddin, Sekali Najib mintak senarai nama

Satu lagi kenyataan bersama yang mendakwa mewakili “semua ahli parlimen BN” muncul, kali ini mendakwa bahawa mereka semua bersetuju untuk menyokong Muhyiddin Yassin untuk berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Ahli Parlimen BN” itu mengatakan bahawa keutamaan mereka sekarang adalah memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara dan Muhyiddin meneruskan agenda “membela rakyat”.

Kenyataan bersama itu tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan.

Bagaimanapun, FMT melaporkan bahawa pembantu kepada Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kenyataan itu sebagai “sahih”.

Beberapa ahli parlimen BN, seperti Annuar Musa (Umno-Ketereh), memberitahu Malaysiakini bahawa mereka turut serta dalam kenyataan itu. Sementara yang lain memberikan jawapan yang tidak jelas.

Percubaan untuk menghubungi Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir untuk mendapatkan komen tidak berjaya.

Ketika laporan ini ditulis, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada kenyataan ini mewakili semua ahli parlimen BN.

Zahid, dalam kapasiti sebagai presiden Umno, menyatakan bahawa majlis kerja tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan untuk menarik balik sokongan parti itu kepada Muhyiddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan Najib Razak mempersoalkan dakwaan dalam kenyataan terbaru yang mendakwa mewakili “semua ahli parlimen BN”.

“Eh.. saya pun ahli parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?

“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluakan entah pihak mana ini?

“Saya yang tandatangan watikah pencalonan bagi setiap ahli parlimen BN yang ada hari ini.

“Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli parlimen BN. Sila beri senarai nama,” katanya di Facebook.

Ini adalah kali kedua sejak 23 Jun di mana kenyataan yang mendakwa mewakili “semua ahli parlimen BN” muncul.

Kenyataan sebelum ini mendakwa bahawa Ahli Parlimen BN tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kenyataan sebelumnya pada mulanya dikaitkan dengan Ismail Sabri dan kemudian dikaitkan dengan “semua Ahli Parlimen BN”.

Majlis Presiden PH minta PM letak jawatan

Dalam pada itu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sudah menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Perdana Menteri serta merta.

Majlis Presiden juga mengambil maklum kenyataan Peguam Negara berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri.

Dalam kenyataan media secara bersama, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Peguam Negara bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan warkah ketua parti politik yang menyokong beliau.

“Ini termasuk Presiden Umno, yang sudah dipersembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020.

“Maka apabila ketua parti terbesar itu mengumum menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka Perdana Menteri sudah hilang sokongan asas parti itu dan seterusnya hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Jelas sekali Peguam Negara bertindak lebih sebagai ahli politik Perikatan Nasional (PN) daripada mempertahankan keluhuran undang-undang,” kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, mereka berkata Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana sudah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai Perdana Menteri.

PH: Sekarang bukan masa sesuai untuk pilihan raya

Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil berikutan jumlah kes C0vid-19 yang masih tinggi dan prasarana kesihatan awam yang semakin tertekan.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini berkata justeru itu, PH akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, pengurusan krisis C0vid-19 dan program vaksinasi yang lebih pantas.

“PH juga beri fokus kepada langkah-langkah menghidupkan semula ekonomi negara yang lebih baik melalui dasar yang diteliti dan diumum oleh jawatankuasa PH.

“Kita perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat ekoran krisis C0vid-19 yang kian meruncing, berbanding terus berpolitik demi jawatan dan habuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *