Uncategorized

PM Muhyiddin cuba bergurau pasal bendera putih, sekali ini yang jadi

PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang dan warganet menempelak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana berkata, tidak perlu menaikkan bendera putih kerana kerajaan menyediakan bakul makanan kepada golongan memerlukan untuk mengharungi pandemik Covid-19.

Selepas melawat pusat agihan bantuan makanan di Putrajaya hari ini Muhyiddin secara berseloroh berkata: “Tak payah naik bendera putih, hitam. Nak naik bendera biru (merujuk warna lambang Perikatan Nasional) tak apa (ketawa).”

Beliau juga berseloroh dengan berkata: “Saya rasa, kalau turun ke banyak rumah ni tengok kat dapur, dah penuh dah kot (ketawa).”

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menyifatkan perdana menteri berdelusi kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku di lapangan ketika ini.

“Saya mahu mengingatkan beliau, ada banyak orang yang kelaparan dengan hanya satu hidangan sehari di Malaysia ketika ini.

“Itu realiti di lapangan hari ini. Bakul makanan ibarat menggunakan pembalut luka ketika anda menghidap kanser,” kata wakil rakyat DAP itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang pejabatnya menambah jumlah bakul makanan daripada 50 kepada 150 berkata, peruntukan tambahan RM300,000 yang diberikan kepada

Ahli Parlimen baru-baru ini untuk membeli bakul makanan bagi keluarga memerlukan di kawasan mereka tidak mencukupi.

Wakil rakyat PKR itu mendapati perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh membawa kesan besar kepada pendapatan rakyat dan berkata, semakin sukar untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan walaupun menggunakan pelbagai jaringan ADUN, NGO, badan pengurusan pangsapuri dan persatuan berkaitan.

“Pun begitu, kami tidak dapat mengenal pasti semua orang yang memerlukan bantuan. Jika rakyat mengibarkan bendera putih, ia membantu kami memfokuskan mereka yang memerlukan bantuan.”

Kempen bendera putih adalah inisiatif masyarakat untuk keluarga yang terdesak dan memerlukan makanan serta bantuan lain dengan mengibarkan bendera putih.

Di media sosial, warganet turut membidas kenyataan Muhyiddin. Pengguna Twitter @DrAmarMOH menulis “mungkin kita hidup di dunia berlainan?”

Seorang lagi pengguna, @EjadJaszle berkata, komen perdana menteri kurang empati dan tidak berdasarkan bukti, manakala @sangkancilguru berkata, kenyataan Muhyiddin mengenai dapur penuh dengan bekalan makanan mungkin merujuk kawasan perumahan mewah.

“Beliau maksudkan dapur di Bukit Damansara.”

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat barangan keperluan asas ketika meninjau penyediaan Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini

Muhyiddin tinjau penyediaan Bakul Prihatin Negara

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, meninjau penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara, yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Berkonsepkan pendekatan masyarakat secara menyeluruh, inisiatif Bakul Prihatin Negara itu membabitkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat dan diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Bercakap kepada media selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara itu di Dewan Perdana Nur, KPWKM di sini, Muhyiddin berkata, penyediaan bakul makanan itu membabitkan peruntukan RM5 juta daripada Pejabat Perdana Menteri dan RM16 juta disumbangkan sektor korporat.

“Dalam soal pengurusan kebajikan rakyat ni kita tak boleh berkompromi. Selagi masalah pandemik COVID-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih, saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya.

Bakul Prihatin Negara itu adalah hasil cetusan idea Muhyiddin sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Penyampaian bantuan dilaksanakan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setiap bakul makanan bernilai RM50 itu mengandungi beras, gula, tepung gandum, bihun, kicap, sardin, biskut, kopi dan garam.

Muhyiddin berkata, setakat ini, tidak termasuk Bakul Prihatin Negara, kerajaan telah menyalurkan sebanyak 2.315 juta bakul makanan membabitkan peruntukan RM173.4 juta yang memanfaatkan seramai 9.26 juta orang sejak pelaksanaan Bantuan Bakul Makanan fasa pertama pada Mac tahun lalu.

“Sebahagian besar daripada kumpulan sasar yang ada baik M40, B40, atau T20 yang terkesan kerana tak boleh nak berniaga dan berhenti kerja, semua kita sampaikan bantuan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh memohon bantuan dengan menghubungi Talian Kasih di 15999, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berdekatan tempat tinggal serta merujuk maklumat di media sosial rasmi KPWKM, katanya.

Muhyiddin yang diringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika membuat tinjauan itu turut menerima sumbangan RM16 juta dari lima syarikat korporat untuk menjayakan program Bakul Prihatin Negara itu.

Yayasan Petronas yang diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyampaikan sumbangan dalam bentuk replika cek berjumlah RM5 juta, AEON Big yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia Shafie Shamsuddin pula menyampaikan sumbangan RM4 juta.

Pharmaniaga Bhd yang diwakili Pengerusi Datuk Seri Mohammed Shazaili Ramly menyampaikan sumbangan RM3 juta; Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ir Baharin Din dan Telekom Malaysia Bhd yang diwakili Pengerusi Tan Sri Mohd Bakke Salleh pula masing-masing RM2 juta.

Muhyiddin turut menyerahkan vest Skuad Prihatin Negara kepada dua sukarelawan Ahmad Azri Ahmad, 35, dan Azalina Abdul Rahman, 44.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *