Uncategorized

Dulu Popular Dengan Slogan”Malu Apa Bossku”, Ini Panggilan Terbaru Najib Yang Mula Sohor Kini di Twitter

PUTRAJAYA – Hidup ibarat kitaran roda. Mungkin perumpamaan itu dapat disimpulkan terhadap nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah rayuan sabitan kes mahkamah beliau dikekalkan Mahkamah Rayuan di sini pagi Rabu.

Ahli Parlimen Pekan yang kembali berpengaruh dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’ setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu, akhirnya terpaksa menerima hakikat beliau kini trending dengan frasa ‘national embarrassment (memalukan negara)’ yang begitu popular di laman Twitter dengan lebih 13,100 kicauan setakat jam 3 petang Rabu.

Lebih menarik, ungkapan ‘national embarrassment’ yang digunakan Pengerusi Penal Tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil terhadap Najib bagi mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini, turut menjadi buah mulut perbualan warga maya di laman sosial popular lain termasuk Facebook dan Instagram.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Sewaktu membacakan keputusan penghakiman, Abdul Karim, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara mendapati Mohd Nazlan membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan itu.

Abdul Karim menambah, tiada sebab untuk pihaknya bercanggah dengan Mohd Nazlan dengan beliau turut menjelaskan dakwaan bahawa wang itu adalah derma dari Arab tidak boleh dipertahankan.

“There is no national interest here, just a national embarrassment (Ini bukan libat kepentingan nasional, hanya satu perkara memalukan negara),” tegas Abdul Karim yang turut berpendapat Najib mempunyai kepentingan peribadi meluluskan RM4 bilion kepada SRC International.

Di sebalik keputusan terkini Mahkamah Rayuan, tiga panel hakim mahkamah itu masih membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Abdul Karim berkata, syarat penangguhan hukuman sama seperti diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu jaminan RM2 juta dengan dua penjamin, dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Ketiga-tiga hakim juga sependapat untuk mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.

Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

Bagaimanapun, Najib kemudiannya meluahkan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan menegaskan beliau berjasa besar dalam mengembangkan aset negara daripada RM800 bilion kepada RM2 trilion selama tempoh lebih 10 tahun pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia bermula tahun 2008 sehingga 2018.

Tambah Najib lagi, penggunaan ungkapan ‘national embarassment’ terhadap dirinya juga dianggap tidak wajar dengan beliau membangkitkan skandal dagangan tukaran wang asing (Forex) sekitar tahun 90-an yang dianggapnya lebih memalukan.

“Bukankah itu lebih memalukan negara?” soal Najib dalam sidang media atas talian selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan beliau bersalah.

Menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Ahli Parlimen Pekan itu juga sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.

Susulan tumpuan terhadap nasib Najib kini terarah kepada keputusan rayuan kes beliau di Mahkamah Persekutuan, timbul tanda tanya sama ada karier politik ‘Bossku’ kini sudah berakhir atau sekadar permulaan terhadap kebangkitan mutlak beliau pada masa hadapan? Hanya masa yang dapat menjawabnya.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini memang sinonim dengan slogan ‘Malu Apa Bossku?’, yang mula popular selepas kekalahan BN pada PRU-14.
Bagaimanapun sejak semalam, Najib kini dikaitkan dengan frasa ‘national embarrassment’, yang menjadi sohor kini di Twitter.

sumber: mkini, sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published.