Amalan

“Individu misteri penyelamat kami’ – Mngsa Banjir Ceritakan Semula Pemuda Dtng Dari Mana Tak Diketahui

HULU LANGAT – Datangnya berseorangan dan bersahaja, tersenyum sambil menyapa mesra sekumpulan mangsa banjir yang sedang bertungkus-lumus membersihkan rumah.

Sambil dia berjalan sekeliling lokasi banjir di sini, lalu dia bertanya apa bantuan yang diperlukan penduduk setempat.

Peralatan yang dihulurkan oleh individu yang hanya dikenali sebagai ‘Farouk’ itu kebanyakannya seperti baharu dibeli – penyembur air jet, penyodok pasir serta but kuning persis karakter ‘Phua Chu Kang’.

‘Farouk’ datang dari mana tidak diketahui.

Apabila ditanya, ‘Farouk’ menjawab yang dia bergerak secara individu dan bukan dari mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau badan sukarelawan

Itu antara pengalaman yang dikongsi seorang mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Siti Nabila Abd Jalal, 29, ketika ditemui Astro Awani di sini pada Rabu.

“Tak cukup dengan itu, dia melihat sekeliling rumah kami yang penuh dengan pasir dan selut dari limpahan sungai, pergi mencari jentolak dan membayar upah kepada pemandu jentolak untuk membersihkan pasir yang cukup tebal.

“Bila ditanya kenapa tolong? Farouk bercakap dia cukup tersentuh dengan keadaan di Kampung Jawa, Kampung Sungai Lui antara yang teruk kena dengan banjir kali ini,” kata Siti Nabila.

Kawasan ini cukup terkenal sebagai destinasi bagi mereka yang gemarkan aktiviti mendaki, apatah lagi kawasan Hulu Langat ini begitu strategik dan penuh dengan laluan bukit dan gunung untuk sampai ke beberapa air terjun yang sering pendaki-pendaki gambarkan sebagai ‘majestic’.

Antaranya Air Terjun Sungai Lepoh, Air Terjun Perdik, dan Air Terjun Jeram Perlus.

Namun, kali ini keindahan gunung dan hutan di kampung berkenaan dikejutkan dengan banjir deras di luar jangkaan mencapai sehingga paras dua meter.

Kampung Sungai Lui, Kampung Jawa, Taman Seri Nanding dan kawasan lain di sekitar Hulu Langat, antara kawasan terjejas teruk dengan ribuan penduduk terpaksa memanjat ke bumbung kerana paras air yang di luar dugaan.

Keluarga Siti Nabila sedang membersihkan sisa-sisa banjir di kediaman nenek mereka di Hulu Langat, Selangor. – Foto Astro Awani

“Saya dan keluarga terpaksa memanjat ke ruang di antara siling dan atap kerana air yang merempuh, mengakibatkan dinding terkopak.

“Rumah makcik sebelah yang hanya tinggal struktur tangga batu sahaja … rumah itu dihanyutkan arus deras dan melanggar pula rumah kami,” katanya lagi.

Awalnya, Siti Nabila enggan menceritakan kembali peristiwa yang berlaku pada Ahad lepas itu, kerana terlampau trauma.

Namun, berbekalkan kudrat yang ada masih mampu memperincikan kejadian yang terjadi dan langkah pasca banjir kelak.

Hidup perlu diteruskan, kata Rasa syukur tidak terhingga itu ada kerana hanya harta benda yang dihanyutkan, bukan nyawa dirinya dan keluarga tercinta.

Katanya, dengan wujudnya sukarelawan yang hadir persis hero tidak didendangkan seperti individu bernama Farouk itu, Siti Nabila merasakan dirinya perlu terus bersyukur dan lebih cekal meneruskan kehidupan.

Sewaktu ditemui, mata Siti Nabila redup seolah-olah menyimpan kekecewaan, namun dia optimistik bantuan yang sewajarnya muncul di saat genting ini ialah dari pihak Kerajaan.

“Macam rumah arwah nenek ini, dah kira total loss. Harapnya kalau ada pengurusan bencana datang, mereka perlu buat penilaian menyeluruh, dan beri bantuan yang sewajarnya,” tambahnya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published.