Hiburan

Lan Pet Pet Tiada Dalam Filem Baru Senariounion. Tak Boleh Berdiam Aziz M Osman Beri Penjelasan

Pengarah Aziz M Osman akui telah sedaya upaya mendapatkan pelakon Lan Pet Pet untuk turut serta dalam filem terbaru Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion. Menurut Aziz, dia dan pihak pengurusan sudah mengubungi Lan sertai ahli Senariounion yang lain, namun atas sebab tertentu, hasrat itu tidak kesampaian.

“Kami semua sudah hubungi Lan, pihak pengurusan pun. “Tapi kita tahu apabila Lan mempunyai komitmen lain dan kami fahamlah,” katanya. Tambahnya, biarpun sudah memulakan penggambaran, dia masih cuba untuk ‘mempelawa’ Lan untuk muncul sekurang-kurangnya satu dua babak.

“Namun sehingga saat ini, walaupun dua tiga hari lepas sebelum kami nak selesai penggambaran, kami tetap telefon Lan. “Sekurang-kurangnya ada satu dua babak untuknya. Namun kami faham. “Bukan dia tolak atau tak terima tapi dia ada komitmen lain,” katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Jaga-Jaga Senariounion. di Jannah Wedding Place, Beranang, kelmarin. Sekadar info, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad sudah beralih kerjaya sebagai pembantu peguam di syarikat guaman Aswandi Hashim & Co milik Datuk Dr Aswandi Hashim.

Lan memulakan tugas pertamanya di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada 25 Ogos lalu. Dalam itu, Jaga-Jaga Senariounion terbitan Botak Production Management Sdn Bhd dijangka menemui penonton tidak lama lagi menerusi Astro First. Filem terbaru menampilkan kesemua ahli Senariounion (kecuali Lan) turut Syanie, Bobby Kiran, Prono, Amm Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah.

Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet (kanan) bersama Datuk Aswandi Hashim di Kompleks Mahkamah Alor Setar. – Gambar Astro AWANI

Lan Pet Pet tukar kerjaya sebagai pembantu peguam

ALOR SETAR: Golongan artis antara yang benar-benar terkesan dengan pandemik COVID-19 sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Sering kedengaran keluhan dalam kalangan mereka yang tidak dapat keluar bekerja berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan tidak kurang ramai juga yang terpaksa mencari alternatif lain untuk mencari rezeki.

Antara yang terkesan ialah pelawak terkenal, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet.

Memahami kehidupan harus diteruskan, Lan memilih beralih kerjaya baharu di kampung halamannya di sini.
Dan hari ini menjadi hari pertama buat Lan yang memulakan tugas sebagai pembantu peguam di syarikat guaman, Aswandi Hashim & Co yang mengendalikan kes-kes jenayah di Mahkamah Alor Setar.

Mazlan, 52, yang juga anggota kumpulan Senario berkata, dia mengambil masa tujuh bulan semata-mata untuk berlatih dalam selok-belok perkerjaan baharunya itu dengan mempelajari etika berpakaian, bercakap dan juga ketika berada di dalam kamar mahkamah.

Sepanjang tujuh bulan mengharungi latihan, Lan memberitahu, dia sudah lulus serta memulakan tugas sebagai pembantu khas syarikat guaman.
“Setiap perjalanan hidup mesti kena ada Latihan, saya berlatih paling unik tujuh bulan untuk ambil tahu etika untuk bercakap dengan etika awam dan di dalam mahkamah… (bahkan) etika berpakaian, etika fizikal tubuh badan kita dalam mahkamah juga kadang-kadang saya pun tak tahu, saya rujuk balik kepada orang yang bijaksana,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini, pada Rabu.

Seiring pekerjaan baharu yang disandangnya, Lan berkata, dia bersedia untuk memegang karakter sebagai peguam dalam sebarang drama atau filem jika menerima peluang pada masa depan.

Ini kerana, katanya, dia amat optimis dapat menjiwai watak sedemikian berkat pengalaman bekerja di mahkamah.

“Saya minat nak pegang watak sebagai peguam, saya teringin sangat nak karakter itu sebab selama ini orang selalu nampak saya sebagai Lan Pet Pet yang keloloh, Insya-Allah jika ada tawaran jadi peguam saya boleh buat dengan baik,” ujar anak jati Alor Setar itu lagi.

Sementara itu, peguam Datuk Aswandi Hashim dari Aswandi Hashim & Co berkata, tempoh tujuh bulan yang diberikan kepada Lan telah digunakan sebaik mungkin pelawak terbabit untuk menyesuaikan diri dengan kerjaya barunya.

Menurut Aswandi, beliau dan Lan telah bersahabat sejak kecil namun terpisah sejak 25 tahun lalu disebabkan sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Selepas mereka bertemu semula Lan memaklumkan padanya bahawa dia meminati bidang perundangan, namun tidak menemui orang sesuai untuk mengajarnya.

Aswandi berkata, firmanya turut terbabit dalam syarikat perundingan yang memberikan latihan kepada orang ramai berhubung isu perundangan dan Lan bertuah kerana dia diberi tanggungjawab sebagai moderator dalam satu kursus yang dijalankan.

“Kita bagi kontrak satu tahun untuk dia belajar mengenai undang-undang pada dia dan dia sudah belajar tujuh bulan daripada awal dan sekarang kita bagi kontrak satu tahun untuk mendalami undang-undang pula, adi boleh dia gunakan untuk watak (dalam lakonannya) pada masa depan,” kata Aswandi lagi.

Sumber: GEMPAK

Leave a Reply

Your email address will not be published.