Uncategorized

‘Saya amat kecewa’ Ini kata2 Najib selepas 3 hakim Mahkamah Rayuan sepakat tolak rayuan

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dia juga menyatakan sudah memberi arahan kepada pasukan peguam belanya untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Najib yang juga ahli parlimen Pekan juga sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.

“Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.

“Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Ia dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Panel hakim terbabit – dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil – juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.

Menurut Najib, persoalan pokok isunya itu ialah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke peribadinya.

“Sebagai (orang) Islam saya nak nyatakan saya pernah tidak tahu, minta, arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan penangguhan hukuman ke atas Najib hari ini sementara rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Najib dapat tangguh hukuman penjara, denda

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta berhubung pertuduhan penyelewengan dana SRC International.
Semasa prosiding sebentar tadi, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram membantah permohonan Najib untuk menangguhkan sabitan dengan berhujah bahawa sabitan tidak boleh ditangguhkan.

Bagaimanapun peguam Tan Sri Muhammad Shafee berhujah, Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa perintah dan sabitan boleh dirayu, dengan itu ia boleh ditangguhkan.

Beliau berkata, jika anak guamnya tidak boleh menangguhkan sabitan, ia akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai ahli parlimen.

Berita bekaitan: Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan, hukuman penjara Najib

Sementara itu, peguam Farhan Read pula berhujah, Najib tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan beliau tidak pernah melanggar syarat jaminan.

Katanya, ia adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Perayu juga dibebani sebagai Ahli Parlimen Pekan. Jika penangguhan tidak diberikan ia akan menyebabkan beliau terbatal kelayakan dalam jawatan itu,” kata peguam.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, hakim Abdul Karim membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengekalkan syarat-syarat tambahan seperti sebelum ini.

Terdahulu Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta
terhadap Najib.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Abdul Karim dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas
mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.