Hiburan

“Saya bergelar janda pada hari ini” Pasangan ini berjoget depan pejabat agama tarik perhatian ramai

PETALING JAYA – Mungkin sudah lama memendam rasa dan tidak ingin bersama, satu pasangan dilihat begitu gembira setelah berpisah secara sah di sebuah pejabat agama tempatan baru-baru ini.

Satu video tular di media sosial memaparkan satu pasangan suami isteri berjoget di depan pejabat agama selepas disahkan bercerai.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang dikongsi di media sosial ketika ini memaparkan dia menari bersama bekas suami di hadapan Kompleks Pentadbiran Agama Islam, Teluk Intan, Perak, setelah bergelar janda.

“Officially (secara rasminya), saya bergelar janda pada hari ini dengan talak loro talak loro (talak dua).

“Terima kasih bekas (suami) banyak jaga saya sebelum ini. Semoga jumpa jodoh yang lebih baik,” tulisnya.

Tindakan kedua-dua individu terbabit mengundang rasa kurang senang orang ramai yang menganggap ia satu tindakan tidak beradab serta memalukan diri.

“Apabila berbangga dengan perkara yang Allah dan nabi paling tak suka, tersangat lah sedih, jika tak kuat Islamn pun jangan dipermainkan perkara yang Allah (tidak suka),” kata @Tak handsome janji kayo.

“Ya Allah sis jangan memalukan diri macam ini, jangan bangga sangat dah bercerai, sedih tengok macam ini. Runtuhnya sesebuah rumah tangga rasa sedih bukan gembira,” ujar @Iedah38.

Sementara itu, menurut Nizam Alai, perkahwinan dan penceraian seakan satu permainan bagi generasi sekarang

Kes perceraian di Malaysia rekodkan peningkatan luar biasa

Kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Malah, trend peningkatan itu juga dijangka berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa negeri.

Menurut laporan UUM Online, Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Faezah Nayan berkata, masalah kewangan menjadi antara penyebab utama berlakunya perceraian kerana ramai suami hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja akibat Covid-19.

“Kehilangan pekerjaan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga, lebih parah apabila suami sebagai ketua keluarga diberhentikan kerja menyebabkan tiada duit untuk beli makanan, susu anak, lampin dan sebagainya, lantas menyebabkan konflik dalam rumahtangga apabila suami isteri bergaduh.

“Masalah kewangan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami dengan isteri disebabkan tekanan dan akhirnya menyebabkan wujudnya ketidaksefahaman di antara satu sama lain,” katanya pada program dalam talian bertajuk Kesejahteraan Psikologi Dalam Normal Baharu anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Perpati) UUM baru-baru ini.

Masalah kewangan dikatakan menjadi punca pergaduhan suami isteri. – Foto 123RF
Faezah berkata, kebanyakan kes yang berlaku melibatkan kumpulan B40 seperti peniaga kecil-kecilan, pembantu kedai makan, pekerja kilang dan ada juga yang bekerja sendiri.

“Apabila ada masalah kewangan mereka terpaksa menjual apa yang ada seperti telefon bimbit, beg tangan mahal, kasut sukan berjenama demi meneruskan kelangsungan hidup. Jadi apabila tiada telefon bimbit bukan sahaja akan menyukarkan komunikasi dengan orang lain, bahkan juga menyebabkan anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Jadi masalah ini saling berkait dan rentetan daripada masalah kewangan boleh menyebabkan konflik hubungan suami isteri yang tidak berkesudahan, akhirnya mencetuskan perceraian atau meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Menurut beliau, kesejahteraan psikologi merujuk kepada individu mempunyai mood dan emosi yang positif seperti gembira, bahagia, bersemangat, rendah emosi negatif dengan kualiti kehidupan yang merangkumi kualiti pekerjaan dan kekeluargaan serta berfungsi secara positif iaitu memiliki autonomi serta makna serta tujuan untuk hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesejahteraan psikologi bermaksud tiada penyakit mental di mana keadaan seseorang yang berfungsi pada tahap penyesuaian emosi dan tingkah laku yang memuaskan atau keupayaan individu untuk menikmati kehidupan selain mewujudkan keseimbangan antara aktiviti kehidupan serta usaha untuk mencapai daya tahan psikologi.

Tambahnya, berdasarkan Teori Hierarki Maslow, faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan psikologi membabitkan lima keperluan manusia iaitu keperluan asas, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan pengharapan dan keperluan sempurna kendiri.

“Apabila kelima-lima keperluan tersebut tidak dipenuhi maka wujudlah psikologi yang tidak sejahtera iaitu rasa sedih, kecewa, tertekan, murung, bercelaru, bimbang dan trauma,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.