Amalan

Bekas PM sertai perayaan bukan Islam, sekali AJK Fatwa Perlis bagi satu teguran

Seorang daripada anggota Jawatankuasa Fatwa Perlis hari ini mengingatkan orang ramai mengenai perlunya seseorang Muslim mengehadkan dirinya dalam pembabitan sambutan agama lain.

Menurut Kamilin Jamilin seseorang Muslim tidak seharusnya menyambut perayaan agama bukan Islam atau melakukan sebarang upacara yang kelihatan seperti meraikan hari simbolik agama lain.

“Allah SWT melarang umat Islam berkompromi dan terlibat dengan sebarang bentuk peribadatan dan ritual agama lain berdasarkan surah al-Kafirun yang kebanyakan kita menghafalnya,” katanya.

Dia yang juga penasihat akademik Akademi al-Khayr memuat naik kenyataan tersebut ketika sesetengah pihak mempertikaikan kehadiran Ahli Parlimen Pekan Najib Razak ke Batu Caves sempena sambutan Thaipusam semalam.

Rakaman kunjungan bekas perdana menteri itu turut tular di media sosial.

Kata Kamilin Islam melarang seseorang Muslim berkunjung ke rumah ibadat agama lain pada hari perayaan mereka walaupun atas alasan untuk perpaduan.

“Begitu juga tidak seharusnya seorang Muslim menggayakan diri atau berkelakuan dengan sesuatu yang menyerupai agama lain dalam hal yang menjadi syiar atau pengkhususan atau tradisi keagamaan mereka,” katanya.

Agar tak keliru

Tambah Kamilin ada banyak cara atau aktiviti lain yang boleh dilakukan seseorang Muslim untuk memupuk perpaduan atau mempamerkan keharmonian sesama rakyat.

Sebagai contoh, katanya, ia boleh dibuat melalui sifat ihsan, pelaksanaan keadilan dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

“Pemimpin Muslim dan umat Islam perlu peka dengan hal ini,” katanya.

Sementara itu anggota Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah, Faiz Fadzil, meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad menjelaskan hukum Najib berkunjung ke Kuil Sri Subramaniar semalam.

Katanya Thaipusam dianggap perayaan keagamaan untuk agama Hindu, bukannya sambutan kebudayaan kaum India.

“Bagi umat Islam, kita memang menghormati amalan setiap agama, tetapi adakah kehadiran Najib sebagai seorang Muslim ke perayaan Thaipusam tersebut menyalahi hukum syarak?” katanya.

Sebagai menteri agama, kata Faiz, naib presiden PAS itu mempunyai autoriti untuk menjelaskan tanda tanya itu kerana sebelum ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menegah kunjungan ke rumah ibadat bukan Islam semasa perayaan agama.

“Perkara ini penting untuk dijelaskan oleh menteri agama supaya masyarakat Islam di negara ini tidak keliru,” katanya.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri ada memuat naik gambar bersama dengan masyarakat India sempena Thaipusam

Beberapa pengikut Najib Razak ada meninggalkan komen menegur perilaku berkenaan

“Akidah tidak boleh digadai untuk meraih populariti. Sekadar teguran ikhlas daripada saya.”

“Amat sedih bila melihat pemimpin Islam menyambut hari keagamaan bangsa lain. Cukuplah wakilkan pada MIC ataupun apa-apa parti yang related kepada bangsa India. Tidak perlu pun DSN terlibat didalamnya. Allahul mustaan.”

“Bangga pula tu setiap tahun tak pernah miss.Sedangkan Umar al-Khattab pernah sebut: لا تدخلوا عليهم في كنائسهم يوم عيدهم، فإن السخطة تنزل عليهم
Jangan kamu masuk ke gereja@rumah ibadah mereka pada hari perayaan mereka. Sesungguhnya kemurkaan turun ke atas mereka. [Musannaf Abdul Razzaq].”

Leave a Reply

Your email address will not be published.