Uncategorized

Update Kes Saman Siti Nordiana, dua individu ini tampil buat permintaan

KUALA LUMPUR: Dua daripada lima individu yang disaman oleh penyanyi Siti Nordiana Alias atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram, mengemukakan permohonan agar perbicaraan yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Saman pemula itu difailkan oleh Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, (defendan keempat) serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, (defendan kelima).

Saman pemula itu yang difailkan pada 16 Disember lalu antara lain menyertakan alasan jumlah keseluruhan tuntutan plaintif (Siti Nordiana) terhadap defendan-defendan adalah sebanyak RM2.5 juta dan nilai itu melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana memberitahu pihak media, permohonan untuk memindahkan kes akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian pada Isnin ini.

Menurut Abang Azlan, semalam ditetapkan untuk pendengaran permohonan interim kedua-duanya untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, peguam bela memaklumkan, permohonan penangguhan itu telah menjadi akademik dan menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap kedua-duanya serta tiga yang lain atas dakwaan memfitnah beliau di platform Instagram.

Tiga defendan lain ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Pada perbicaraan lalu, Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan disambung selama sembilan hari bermula 4 Januari ini.

Tarikh-tarikh lain ialah 7, 11, 17, 19, 20 dan 28 Januari serta 3 dan 4 Februari.

Perbicaraan setakat ini telah berlangsung selama dua hari dengan mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas.

Ketika perbicaraan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu, Siti Nordiana antara lain mendakwa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurut Siti Nordiana pernyataan fitn4h lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.

[VIDEO] “Saya bukan marah, memang suara begini…” – Jawab peguam selepas ditegur Siti Nordiana dalam mahkamah agar cakap elok-elok

TINDAKAN Siti Nordiana mengadakan sidang media bersama wartawan bagi menjawab dakwaan fitnah terhadapnya menjadikan rakaman siaran langsung Instagram (IG Live) oleh lima sekawan menjadi lebih viral.

Perkara berkenaan diakui sendiri penyanyi itu pada sesi perbicaraan hari kedua kes saman fitnahnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan pada petang Jumaat.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 37, mengesahkan perkara itu selepas disoal peguam defendan Nurul Hafidzah Hassan mengenai jumlah rating selepas sidang media yang dibuat secara dalam talian itu pada 23 Julai lalu.

“Berdasarkan sidang media itu barulah perkara tersebut (Live IG) menjadi viral pada 23 Julai lalu, betul?” soal peguam.

Siti Nordiana kemudian menjawab ringkas: “Betul”.

Semasa prosiding berlangsung, Siti Nordiana yang berada di kandang saksi bagaimanapun mengingatkan kepada peguam supaya bertanya kepadanya secara baik.

Siti Nordiana sebagai Plaintif bersama dengan peguam.

“Minta tolong cakap (bertanya) elok-elok puan,” katanya.

Peguam itu kemudian menjawab: “Saya bukan marah, memang suara saya begini, (lantang)” kata peguam Nurul Hafidzah.

Pada masa sama, penyanyi lagu Amaran itu turut bersetuju dengan cadangan soalan peguam yang mengatakan bahawa IG Live tersebut tidak menjadi viral ketika ia dibuat oleh defendan-defendan pada 20 Julai lalu.

Namun Siti Nordiana berkata dia membuat sidang media itu bersama wartawan selepas melihat satu akaun di laman YouTube yang telah memuat naik rakaman IG Live lima sekawan tersebut pada 22 Julai lalu.

Saya bukan marah, memang suara saya begini, (lantang)

Dalam prosiding pada Jumaat kedua-dua peguam iaitu Nurul Hafidzah dan Zeti Zulkifli mewakili dua defendan iaitu Sam Musyadzafar Samin dan Razidah Ahmad manakala peguam Azlan Abdul Razak dan Abu Hurairah mewakili Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura.

Peguam Abang Azlan Abang Ariffin dan Ahmad Syaifulbakri Mohamed pula mewakili Siti Nordiana.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Januari depan untuk sambung bicara.

Lan Solo, Syura, Sheila sebagai defendan.

Isu membabitkan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron bermula apabila selebriti tersebut memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos lalu.

Siti Nordiana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan Solo, 36, isterinya Nur Sheila dan Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

sumber: mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.