Uncategorized

Iklan sewa rumah PPR tapi harga ‘kondo’

PETALING JAYA – Pengiklanan rumah dan bilik untuk disewa sentiasa mendapat perhatian kerana permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk disebabkan mereka masih belum mampu untuk membeli rumah sendiri.

Namun, harga rumah atau bilik sewa tidak semuanya mampu untuk dimiliki sehingga ada penghuni yang terpaksa berkongsi bilik bersama rakan agar tidak terbeban dengan harga sewaan.

Baru-baru ini tular di media sosial, iklan harga rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Permai untuk disewa yang disiarkan dalam sebuah kumpulan Facebook dikatakan terlalu mahal sehingga menjadi bualan hangat pengguna lain.

Menerusi hantaran tersebut, harga sewaan yang ditawarkan adalah RM1,400 sebulan dan tidak termasuk deposit yang didapati mencecah RM5,100.

Malah, ianya dibuka untuk sewaan kepada mereka yang berminat dengan tidak disediakan sebarang perabot atau peralatan elektrik asas di dalam rumah.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut telah mengundang pelbagai reaksi orang ramai dan rata-ratanya merasakan harga yang ditawarkan adalah tidak masuk akan serta terlalu mahal bagi sebuah rumah PPR.

“Mahal betul sewa sampai RM1,400 sebulan, tak masuk bil api air lagi, lebih baik menyewa kondominium, siap ada pendingin hawa lagi,” ujar Salleh Zahar.

“Rumah flat sewa RM1,400, ambil kesempatan betul la tuan rumah atau ejen yang uruskan ini,” kata Irwan.

Seorang lagi pengguna turut berkongsi harga sewaan rumah yang didiaminya ketika ini lebih murah walaupun dia tinggal di sebuah kondominium.

“Saya tinggal di kondo pun harga sewa RM1,300 sebulan, di Ampang lagi dan nak ke bandar pun dekat.

“Rumah PPR macam ini tawar harga mahal betul, dah lah susah parkir, kemudahan kurang, jenis perangai penduduk suka buang sampah merata, itu nak tawar mahal, kesian la pada yang betul-betul perlu rumah sewa,” kata Nurul Huda Daud.

Tangkap layar iklan harga rumah PPR untuk disewa yang disiarkan di Facebook.

K1 ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.