Amalan

Macam kes Rayan, Lagi Kanak-kanak terperangkap lebih 48 jam dalam lubang 10 meter di Afghanistan

PENYELAMAT kini kesuntukan masa untuk mengeluarkan seorang budak lelaki yang terjatuh dalam lubang perigi di selatan Afghanistan.

Mangsa dikenali sebagai Haidar dilaporkan terperangkap di dalam lubang tersebut selama dua hari sejak Selasa lalu.

Insiden menimpa kanak-kanak berusia 9 tahun itu berlaku di perkampungan Shokok di wilayah Zabul.

Operasi menyelamat itu dilakukan kira-kira dua minggu selepas insiden serupa menimpa Rayan Awram, budak lelaki berusia 5 tahun yang jatuh dan terperangkap lebih empat hari dalam lubang perigi sedalam 32 meter (m) di Maghribi.

Bagaimanapun, operasi menyelamat itu berakhir tragedi apabila Rayan ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di media sosial, Haidar dilihat menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya.

Perigi tersebut dikatakan mempunyai kedalaman 24 m (82 kaki) dan Haidar tersangkut pada batu di kedalaman 10 m.

Sementara itu, Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam menerusi laman Twitter rasmi beliau memaklumkan bahawa Haidar tersangkut dicelah bawah batu dan usaha mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan.

”Persis seperti Rayan dari Maghribi, seorang kanak-kanak telah jatuh ke dalam perigi yang dalam dan tersangkut pada batu di wilayah Zabul Afghanistan.

”Dia setakat ini masih hidup dan batu itu cuba untuk dibelah bagi mengeluarkan mangsa. Mohon doakan,” ciap beliau.

Tambah Abdullah, bantuan oksigen, ambulans serta beberapa keperluan lain telah berada di tempat kejadian.

“Kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan kadang kala meminta bantuan makanan dan minuman,” ujarnya. – Agensi

Operasi menyelamat itu dilakukan kira-kira dua minggu selepas insiden serupa menimpa Rayan Awram, budak lelaki berusia 5 tahun yang jatuh dan terperangkap lebih empat hari dalam lubang perigi sedalam 32 meter (m) di Maghribi. – Gambar fail/ AP

Artikel asal di Sinar Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published.