Hiburan

‘Bukan kerana saya mudah mengalah’-Nad Zainal Sedia Undur Diri Jika Suami Ada Pilihan Kedua

Kuala Lumpur: “Saya cakap pada suami, kalau dah tiada hati berterus terang saja kepada saya dan jangan menipu. Saya tidak mahu mengetahuinya daripada orang lain kerana itu lebih sakit”.

Demikian kata pelakon Nad Zainal ketika ditanya apa tindakan dibuat sekiranya berdepan masalah rumah tangga dengan suami seperti yang hangat ketika ini membabitkan pasangan selebriti lain.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, berkata, sebagai ibu dan isteri, keutamaan ketika ini adalah anak-anaknya yang semakin membesar.

“Saya rasa sekarang ini, tidak kisahlah sama ada suami kita kaya atau miskin, rupa elok atau tidak kerana akan sentiasa ada saja cubaan dan dugaan.

“Sekiranya suami sudah mempunyai pilihan kedua dan sebagainya, maka saya akan mengundurkan diri. Malas hendak bergaduh-gaduh, bukan kerana saya mudah mengalah atau sebagainya.

“Ini kerana apa yang penting adalah anak-anak saya. Itu yang menjadi keutamaan dalam apa jua aspek,” kata Nad.

Terdahulu, Nad mendirikan rumah tangga bersama pengurusnya Muhammad Faliq Amirullah pada 18 Disember 2015.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom yang kini memasuki usia setahun.

Nad Zainal enggan ulas lanjut status rumah tangga Sarah

Aktres Nad Zainal mengambil pendekatan untuk tidak mengulas mengenai status rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof kerana menyifatkannya terlalu peribadi untuk diperkatakan.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, bagaimana pun akan terus berpihak kepada Puteri Sarah kerana percaya pelakon itu berhak menyuarakan kebenaran.

“Bukan apa, saya ini hanya orang luar, jadi tidak berani untuk masuk campur. Biarlah itu masalah rumah tangga mereka, lagipun kita sendiri pun mempunyai masalah masing-masing.

“Secara peribadi saya tidak terlalu mengenali rapat dia (Puteri Sarah) mahupun suami dan individu ‘ketiga’ itu secara dekat. Namun, saya tetap memberikan sokongan penuh kepada isteri dan ibu teraniaya.

“Sekiranya berkelapangan saya akan menghantar mesej kepadanya dengan memberikan kata-kata semangat dan memintanya bersabar berdepan ujian getir ini,” katanya.

Nad diminta mengulas mengenai siaran langsung (live) dalam Instagram bersama Puteri Sarah pada 6 Julai lalu.

Terdahulu, Puteri Sarah menerusi Instagram Live bersama Nad minggu lalu hangat membincangkan isu rumah tangga secara terbuka.

Antara intipati perbualan berkenaan termasuklah rasa kurang senang Nad terhadap orang ketiga atau ‘penyondol’ rumah tangga orang.

Nad turut menyarankan kepada kaum wanita untuk lebih peka terhadap perasaan wanita lain.

kredit: kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published.