Amalan

“Dah tua tak payah pergi konsert” -Seseorang Beri Nasihat, Ini Jawapan Padu Namron

Ketika ada segelintir pihak menganggap berhibur di sesebuah konsert sebagai perbuatan melalaikan, pelakon dan pengarah Nam Ron tampil menjelaskan hal itu adalah berbeza buat dirinya.

Katanya, dia didatangi individu yang bertanya apa kewajaran untuk dia – yang dianggap sudah “tua” untuk terus menghadiri persembahan konsert dan bagaimana jika ditakdirkan mati di situ.

Menurut Nam Ron, dia dinasihatkan agar tidak lagi perlu terbabit dengan konsert dan lebih baik mengingati mati.

Mengulas mengenai konsert Dewa19 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Sept ini, Nam Ron berkata, dia menganggap persembahan kumpulan dari Indonesia itu sama saja dengan konsert Raihan atau Kembara bersama M Nasir.

“Sebenarnya kedua-dua kugiran ini saya letak sama level dengan kumpulan Raihan. Mereka mentauhidkan hati kita hanya pada yang satu iaitu Allah.

“Cuma aliran mereka berbeza di antara nasyid dan kugiran.

“Dewa 19 (Ahmad Dhani) dan Kembara (M Nasir) membawa lagu lagu spiritual atau sufisme yang mengajak kita untuk mengesakan Allah.

“Apabila mendengar lagu-lagu mereka, saya menjadi tertarik untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Pun begitu, Nam Ron mengakui, dia bukanlah seorang peminat tegar acara konsert kerana kali terakhir dia berhibur dengan cara sebegitu ialah lebih 20 tahun lalu.

“Seingat saya kali terakhir saya menonton konsert adalah pada lewat 1980-an ketika zaman Battle Of The Band, zaman Ella masih dengan The Boys dan Rahim Maarof masih dengan White Steel buat konsert kat tapak fun fair.

“Selepas tu, sampai ke hari ni saya tak pernah menonton konsert.

“Sekarang dah lebih dua dekad, saya akan kembali menonton konsert,” katanya.

Hanya takut kepada Allah

Jelas pemilik nama sebenar Shahili Abdan itu, kira-kira sedekad lalu dia mula ‘mencari’ dan cuba mendekati agama.

Ketika itulah, katanya, air matanya pernah menitis apabila mendengar bait-bait lirik lagu didendangkan kumpulan berkenaan.

Bagi pelakon filem Mencari Rahmat itu, Allah menghantar hidayah kepadanya melalu kedua-dua kumpulan itu sehingga menjentik hatinya mendekatkan diri dengan agama.

“Saya terasa kecil tak berkuasa. Ia mendorong saya untuk mendalami ilmu tauhid hingga membunuh keakuan yang kukuh bertakhta di hati saya.

“Mereka juga saya anggap sebagai guru awal saya untuk mengenal Maha Pencipta.

“Ahmad Dhani juga pernah berkata dia mengidolakan M Nasir kerana lagu lagu ciptaannya. Secara tak langsung nafas cinta mereka mengalir sesama mereka. Nafas nafas cinta ini juga mengalir ke pendengar mereka seperti saya,” katanya.

Justeru, kata Nam Ron, sekiranya ada yang bertanya jika dia tidak takut mati semasa menghadiir konsert, itu bukanlah kebimbangannya.

“Jawapan saya adalah tidak, kerana saya hanya takut pada Allah yang Maha Esa. Dia yang menentukan di mana dan bila saya akan m4ti,” katanya.

Persoal Tiket Konsert Dewa 19 ‘Sold Out’ Tapi Masjid Kosong, Netizen Minta Ustaz Dusuki Tak ‘Judge’ Ibadah Seseorang

Baru-baru ini, viral di platform media sosial mengenai tiket konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 habis dibeli oleh peminat setelah tidak sampai sejam tiket terbabit dibuka untuk dijual.

Sambutan hangat daripada peminat dari Malaysia sememangnya satu perkara yang tidak dapat dijangkakan dan disebakan sold out, ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat membelinya.

Susulan peminat meluahkan perasaan masing-masing di media sosial, Ustaz Ahmad Dusuki menyuarakan pandangannya di laman Facebook dengan mengatakan tiket terbabit habis terjual kerana orang ramai terlalu teruja untuk pergi ke konsert kumpulan tersebut.

Biarpun tiket konsert tersebut habis terjual, Ustaz Dusuki sempat mempersoalkan kenapa tempat beribadah seperti masjid, majlis ilmu serta tazkirah tidak di kunjungi oleh orang ramai sedangkan ia percuma.

Dalam pada masa yang sama, ustaz berkenaan turut sempat memperingati orang ramai berkenaan hari akhirat dan meminta netizen untuk sentiasa menyiapkan diri dengan amalan.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan ustaz Dusuki dan amat memahami dengan apa yang cuba disampaikan olehnya.

Tetapi dalam pada masa yang ada juga sesetengah netizen yang kurang bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh ustaz terbabit dan meminta dia untuk tidak menilai seseorang semudah itu kerana kita tidak tahu ibadah apa yang dilakukan oleh setiap individu.

‘Kalau sanggup beli tiket konsert (Dewa 19), jangan merungut tentang kenaikan harga barang’ – Prof

Tiket konsert Dewa 19 yang bakal diadakan pada September ini di Axiata Arena dilaporkan telah habis dijual kurang dari tempoh sejam selepas dibuka pada Selasa lalu.

Kepantasan para peminat mendapatkan tiket berharga dari RM148 hingga RM488 itu dijadikan sebagai indikator bahawa rakyat di negara ini sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan hiburan walaupun dalam masa yang sama merungut kerajaan tidak membantu rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang.

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, dia sangat hairan dengan senario tersebut di mana rakyat sanggup mengenepikan survival sebuah kehidupan hanya untuk mendapatkan hiburan.

Walaupun mendapatkan hiburan itu merupakan hak masing-masing, tetapi sambutan terhadap penjualan tiket konsert tersebut menunjukkan ada dalam kalangan masyarakat di negara ini yang masih tidak tahu apa itu keutamaan hidup.

“Dalam keadaan gawat ini, sewajarnya kita sebagai rakyat perlu berhemah dalam perbelanjaan, mengatur keutamaan untuk keperluan asas diri, sekali gus kita dapat mendidik diri sentiasa bersederhana ketika keadaan memerlukan.

“Apabila kita bersederhana, kita bersyukur dengan keadaan yang berlaku. Kita tidak menjadi generasi melenting, protes tetapi tenang ketika berdepan dengan apa pun situasi.

“Kalau tidak ada keutamaan dalam hidup, maka inilah yang berlaku. Tidak salah kalau masih mahu hiburan jika anda ada limpahan wang, hidup senang. Tetapi jika kita bukan dari kelompok ini (senang) tetapi sanggup mengeluarkan wang untuk berkonsert, jangan lagi merungut tentang kenaikan harga barang. Usah bising kerana tidak ada duit dan jangan tunding jari ke mana-mana pihak,” katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette.

Bagaimanapun di media sosial, netizen membidas pandangan Kok Seong yang dianggap tidak wajar mengeluarkan pandangan sedemikian hanya berdasarkan penjualan tiket konsert.

“Elok pencen je prof, dah ada simptom-simptom nyanyuk dah tu. Cakap merepek-repek. Saya tak berlajar tinggi ini pun boleh faham rungutan orang yang susah. Takkan bila nampak tiket konsert habis, terus buat perbandingan?” kata Nur Afiza.

“Ingatkan menteri-menteri je kurang bijak, rupanya taraf pemikiran prof pun macam ni. Sedih.. sedih. Macam manalah nak mengharapkan orang bijak pandai menaikkan ekonomi negara, sibuk nak mengajar kita kurang makan telur la, guna minyak masak peket la bagai. Patutnya korang-korang yang diberi tanggungjawab inilah yang berfikir macam mana nak meningkatkan hasil negara, matawang tak terus jatuh.

“Gaji banyak-banyak tapi untuk kerabat dia je. Fikir macam mana nak penuhkan poket masing-masing je. Takde pun sebenarnya istilah nak menolong rakyat, lagi nak menyembelih rakyat ada la,” kata Erlina Suleman.

“Semua golongan ke pergi ke konsert tu prof? Krisis harga barang naik semua golongan terasa beban. Tiket konsert ini bukan satu Malaysia beli tiket pun, agak-agaklah nak putar belitkan fakta. Cuba cari kaedah untuk rakyat bertahan untuk hidup memandangkan anda seorang prof. Saya yakin anda orang yang terpelajar, berhenti beri kenyataan yang boleh menyebabkan orang hilang rasa hormat terhadap orang terpelajar seperti anda,” kata Kamal Musa.

kredit: mkini, Malaysia Gazette

Leave a Reply

Your email address will not be published.