Uncategorized

Ira Kazar akhirnya masuk pembelaan, ini tindakan mahkamah buat Puteri Sarah mula lega

KUALA LUMPUR: Wanita yang dikaitkan kekasih kepada pelakon Syamsul Yusof, Faghirah Fatini Kazaruddin atau Ira Kazar perlu memasukkan pembelaannya dalam saman yang dikemukakan pelakon Puteri Sarah Liyana dalam tempoh sebulan.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Puteri Sarah, selaku plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad, dekat sini hari ini.

“Mahkamah sudah arahkan pihak defendan (Ira Kazar) untuk memasukkan pembelaan dalam masa satu bulan. Jika perlu jawab kita (plaintif) akan jawab, jika tidak mahkamah akan tetapkan tarikh bicara,” kata peguam itu ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Akberdin, mahkamah kemudian telah menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Dalam pada itu, peguam tersebut juga memaklumkan bahawa mahkamah turut mengekalkan perintah interim injuksi yang antaranya memerintahkan defendan berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes perbicaraan penuh.

“Pihak defendan tidak membantah dan perintah interim injuksi itu dikekalkan mahkamah,” katanya.

Sebelum ini plaintif telah mendapatkan perintah interim injuksi tersebut. Permohonan itu telah dihantar kepada defendan dan diterimanya pada 28 Jun lepas.

Sementara itu ketika disoal tentang kemungkinan kes saman tersebut akan diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak, Akberdin berkata buat masa ini kedua-dua pihak belum ke arah itu.

“Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu. kita bukan arrogant (angkuh). Asalkan tawaran itu logikal kita akan pertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah),” jelasnya.

Selain Akberdin, peguam plaintif yang turut hadir dalam pengurusan kes berkenaan adalah Siti Natasha Basheer Hassan dan Umi Kartini abd latiff.

Pada prosiding hari ini, Puteri Sarah dan Ira Kazar bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam masing-masing.

Dalam pada itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira Kazar ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan sebelum atau pada 4 Ogos ini.

“Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif dan hari ini mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) telah melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu,” kata Ammar.

Puteri Sarah sebelum ini bertindak memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor berhubung gangguan dan pemerasan yang diterimanya daripada Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon vateran, Kazar.

Menurut Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, kedua-dua tindakan tersebut dilakukannya hari ini sekali gus memerintahkan defendan (Ira) berhenti melakukan gangguan dan pemerasan terhadapnya di mana-mana platform media sosial dan media yang lain.

Tambah Puteri Sarah, dia enggan berdalih setelah sekian lama berdepan pelbagai gangguan yang dilayangkan Ira yang juga didakwa kekasih kepada suaminya, Syamsul Yusof.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan selebriti itu berlarutan sejak empat tahun lalu selain Puteri Sarah mengesahkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Syamsul gara-gara gangguan orang ketiga.

Dia sebelum ini mendedahkan Ira berterusan mengganggunya dan Syamsul sejak tahun 2019 lagi.

Pelakon berkenaan juga mendakwa individu terbabit melakukan gangguan-gangguan berkenaan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu yang diciptanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial yang mengatakan pengarah filem Mat Kilau itu sudah pun berkahwin dengan Ira, namun dinafikan Syamsul.

kredit:utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published.