Uncategorized

“Kau tengoklah aku dari atas sampai bawah”-Penganjur Nak Bayar Murah, Terus Kena Sound Dengan Jeffrydin

“Memang ada penganjur yang nak bayar murah kepada saya. Saya cakap dengan mereka, kau tengoklah aku dari atas sampai bawah.

Selama lebih 60 tahun berjuang, tergamak kau nak bayar aku jumlah itu. Saya cakap terus terang, kalau tahu saya dan kenal saya, anda tahulah berapa harga saya.”

Itu kata penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin yang kecewa dengan sikap penganjur yang mahu membayar harga murah untuk persembahannya.

Jeffrydin berkata, adalah tidak masuk akal apabila dia hanya ditawarkan sebanyak RM1,500 untuk satu jam persembahan.

“Itu harga saya waktu mula-mula aktif dulu. Saya rasa sedih kerana tak baik mereka buat begitu. Saya berjuang dari Singapura hingga di Kuala Lumpur dan seterusnya Indonesia. Mereka tak pernah tawarkan harga serendah ini,” katanya.

Menurut Jeffrydin, tawaran itu juga untuk acara yang besar dan harga berkenaan memang tidak berbaloi.

“Saya tak kisah tak dapat tawaran menyanyi kalau begini. Mereka dengar orang lain bercakap berkenaan harga ini,” katanya.

Penyanyi pop yeh yeh ini berkata, apabila isterinya (Datin Rashidah Abdullah) mendengar cerita, dia minta perkara ini diserahkan kepadanya.

“Penganjur ini pula tak berani nak berurusan dengan isteri saya. Dia memang seorang yang tegas. Saya memang letakkan harga yang berpatutan untuk sejam persembahan bersama band pengiring.

“Saya tahu nak letak diri saya di mana. Mereka nak banding-bandingkan saya dengan artis baru dan saya tak nak begitu. Saya nak berjuang kerana seni,” katanya.

Semasa tempoh pandemik C0 vid-19 selama dua tahun, penyanyi yang popular dengan lagu Seruling Anak Gembala ini kehilangan tujuh tawaran persembahan yang besar.

“Rasa sedih juga tapi kena reda. Selepas ini saya akan beraksi di Singapura. Pop yeh yeh masih kuat termasuk di Sabah dan Sarawak.

Untuk persembahan di sana, saya tak perlu letak harga kerana mereka tahu berapa nak bayar. Layanan pun bagus. Insya-Allah selepas ini saya ditawarkan untuk buat persembahan di Australia,” katanya.

Jeffrydin sepatutnya menjayakan konsert mini konsert Mas Mona Night bersama L Ramlie, S Mariam serta pemuzik pengiring The Zurah 3 di Grand Barakah Hotel, Ampang, Sabtu ini.

Bagaimanapun penganjur memaklumkan konsert ini ditangguhkan kepada satu tarikh lain yang akan dimaklumkan selepas ini.

Ada sebab kenapa Jeffrydin ‘reject’ Aiman Tino nak berduet – “Saya kata nanti… nak fikir dulu”

Bercerita lanjut mengenai perjalanan karier seni, Jeffrydin berkata dia juga masih dalam proses pembikinan lagu-lagu baharu daripada genre sama yang dibawanya namun ada sentuhan segar.

Malah, penyanyi lagu Siti Haidar ini berkata dia terpaksa menolak tawaran penyanyi Aiman Tino untuk berkolaborasi kerana sesebuah lagu perlu dihasilkan secara teliti supaya mudah mendapat perhatian pendengar.

“Jangkaan untuk pelancaran lagu-lagu itu belum tahu lagi sebab saya masih dalam proses untuk memilih lagu-lagu yang nak disusun.

“Genre masih sama tapi saya akan ubah suai… ada yang suruh masukkan rap… ada yang suruh masukkan irama seperti syair.

Kawan-kawan seperjuangan saya semua di bawah… jadi saya kena dahulukan perjalanan itu

“Aiman Tino pun nak berkolaborasi dengan saya tapi saya kata nanti… saya nak fikir dulu.

“Kita perlu kuatkan lagu itu sendiri… apabila dah kuat baru senang,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai penyanyi veteran yang pernah popular sekitar tahun 60an, dia perlu lebih agresif dalam dunia hiburan masa kini.

Katanya, walaupun rakan-rakan seperjuangannya sudah tidak aktif dalam industri hiburan, dia perlu meneruskan perjalanan seninya demi mengekalkan genre Pop Yeh Yeh dalam dunia muzik tanah air.

“Saya seorang saja yang berada di atas.

“Kawan-kawan seperjuangan saya semua di bawah… jadi saya kena dahulukan perjalanan itu,” katanya.

Rahsia Jeffrydin kekal sihat pada usia 74 tahun

Menjaga pemakanan harian dan rutin melakukan senaman ringan adalah petua kesihatan yang diamalkan penghibur legenda era 1960-an, Datuk Jeffrydin.

Pada usia 74 tahun ketika ini, tak hairanlah apabila penyanyi pop yeh yeh itu masih kelihatan sihat dan bertenaga.

Jeffrydin berkata, dia bersyukur kerana terus diberikan kesihatan yang baik termasuk tiada sebarang penyakit kronik.

“Saya tidak mengambil makanan sejuk dan berminyak kerana tidak bagus untuk kesihatan badan. Saya juga amalkan minum air suam, susu segar atau susu tepung sebelum tidur.

“Untuk senaman, setiap hari selepas solat Subuh, saya akan berjalan di persekitaran rumah,” katanya.

Menurutnya, dia yang sudah biasa bangun seawal jam 5.30 pagi sudah sinonim dengan rutin harian itu. Lagipun, ketika itu suasana pagi masih sunyi dan sangat mendamaikan.

Jeffrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman berkata, penjagaan kesihatan sangat penting apabila usia sudah mencecah kategori warga emas.

“Dalam keluarga saya, arwah nenek dikurniakan umur panjang mencecah 120 tahun sebelum meninggal dunia. Begitu juga arwah datuk saya yang meninggal dunia pada usia 89 tahun. Bapa saya pula meninggal dunia pada usia 83 tahun,” katanya.

Menurut Jeffrydin, dia yang suka menonton rancangan dokumentari pernah menyaksikan paparan kisah seorang lelaki berusia 100 tahun yang masih bertenaga, sihat dan mempunyai stamina kuat.

“Saya sangat kagum dengan keupayaan kesihatan lelaki itu yang mana pada usia emasnya dia masih mampu berlari 100 meter. Jadi, saya catat segala maklumat yang dikongsikan dalam rancangan itu untuk dijadikan panduan dan rujukan,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.