Hiburan

Kecoh Guru Tegur Lirik Lagu Casablanca, Rupanya Komposer Ada Sebab Guna Perkataan ‘Denyut’ Pada Lirik Lagu Berkenaan

Komposer lagu Casablanca, Azmee Abdul Manap atau lebih popular dengan panggilan Daqmie mengakui tentang kebenaran fakta tatabahasa yang diulas oleh guru selebriti, Cikgu Zack Kirana mengenai lirik lagu ciptaannya.

Bagaimanapun, menurut Daqmie, penggunaan perkataan ‘denyut’ pada lirik lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu adalah disebabkan ia dilihat bersesuaian dengan metafora yang cuba untuk disampaikan kepada pendengar.

“Saya faham apa yang saya lakukan kerana ia merupakan satu metafora yang ingin saya ketengahkan. Kalau dilihat dari sudut bahasa dan penulisan kreatif, saya ada alasan yang tersendiri menggunakan perkataan berkenaan.

“Begitupun, saya faham dan hormati tegurannya kerana dia merupakan guru Bahasa Melayu. Cuma untuk menerangkan kembali, jantung berdegup, dada berdebar-debar dan nadi berdenyut-denyut.. Tetapi lebih sedap disusun seperti itu (lirik dalam lagu Casablanca). Saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Daqmie mengulas mengenai kesalahan tatabahasa yang dibangkitkan oleh Cikgu Zack menerusi video TikTok baru-baru ini. Cikgu Zack berkata, perkataan yang sesuai pada lirik berkenaan adalah ‘degup’ bukannya ‘denyut’.

Mengulas lanjut mengenai impak lagu Casablanca, Daqmie yang turut sama mencipta lagu berkenaan dengan Wan Saleh menjelaskan, banyak faktor yang menyebabkan dia diterima di Malaysia dan juga Indonesia.

“Sebenarnya, saya ada rasa agak takut bila lagu ini diterima ramai dan menjadi besar. Namun, saya berasa bersyukur dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pendengar.

“Pada awalnya, saya memang dah menjangkakan yang lagu ini boleh pergi jauh. Saya sendiri beritahu label tentang jangkaan saya. Melihat pada kejayaan Casablanca, ia secara tidak langsung menjadikan saya lebih bersemangat untuk berikan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Casablanca paling tular

SIAPA sangka perjalanan seni dua bintang muda ini semakin membuahkan hasil lumayan apabila single duet pertama mereka berjudul Casablanca meraih populariti luar biasa.

Buktinya, lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu ditonton lebih 8.3 juta di YouTube selain menjadi lagu pertama tempatan yang paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.

Bersyukur dengan setiap limpahan rezeki yang diterima, Nuha mengakui terkejut dengan perubahan yang diterima ketika ini.

“Ini adalah usaha dan kejayaan seluruh pasukan saya dan Naufal. Lagipun kita sudah lama tidak mendengar lagu gabungan Bahasa Arab dan Bahasa Malaysia. Rasanya kali terakhir adalah lagu nyanyian Waheeda.

“Lagu Casablanca ini memiliki keunikan yang tersendiri dan saya sangat bersyukur dengan setiap pencapaian yang kami raih sekarang ini,” katanya.


Bagi Naufal, dia begitu teruja apabila dapat bekerjasama dengan Nuha dan ternyata gabungan itu memberi impak yang baik kepada mereka berdua.

“Sebelum ini saya bergerak secara berkumpulan selama tiga tahun. Saya akui perjalanan seni saya dalam bidang seni ini masih baharu, tapi berbangga apabila dapat bekerjasama dengan Nuha.

“Jujurnya lagu ini saya jumpa sinar hidup saya. Saya tak sangka rezeki tiba-tiba datang mengejut seperti ini. Sesuatu yang saya tidak rancang dan saya serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Pencapaian demi pencapaian dapat disaksikan Nuha dan Naufal apabila mereka bakal ke Indonesia minggu ini untuk menghadiri beberapa undangan program TV di Indonesia.

“Insya-Allah lusa (25 Julai) kami akan ke Indonesia selama tiga hari untuk menghadiri beberapa jemputan program TV di sana.

“Peluang keemasan ini adalah sesuatu yang sangat besar dan kami sekarang ini mempersiapkan diri dengan melakukan latihan supaya persembahan kami di sana berjalan dengan lancar,” katanya.

PASANGAN ini menafikan mereka bercinta sebaliknya hanya berkawan dan seperti adik-beradik.
Ambil positif

Bercerita mengenai persembahan Nuha yang dikatakan ‘teruk’ dan jauh berbeza daripada rakaman asal ketika mempromosikan lagu itu di beberapa program TV tempatan, Nuha mengambil setiap komen yang diberikan netizen sebagai proses pembelajaran.

“Apa saja komen yang saya terima daripada netizen saya selalu memandang dari sudut positif. Saya sangat mencintai kerjaya ini dan saya akan cuba melakukan yang terbaik.

“Saya tidak akan sesekali mengabaikan komen pengkritik kerana saya akui masih baharu dalam bidang ini saya banyak hal yang perlu saya belajar dan perbaiki,” katanya.

Sebagai rakan gandingan, Naufal tidak sesekali membiarkan Nuha sedih atau emosi dengan komen negatif, sebaliknya akan mengambil peranan dalam meningkatkan keyakinan penyanyi itu.

“Saya sendiri pun ada lemah semangat, tapi bila kita bekerjasama saya tidak akan membiarkan Nuha berasa tertekan atau sedih sebaliknya saya akan selalu beri dia semangat dan nasihat.

“Kadang-kadang Nuha pun akan mengambil perana sama untuk nasihatkan saya supaya tiada apa yang boleh menghalang kami untuk terus maju ke depan,” katanya.

‘Kami ibarat adik-beradik’

Ditanya mengenai komen netizen yang sudah mula mendakwa adakah mereka sedang bercinta, Naufal tampil menjelaskan status mereka.

“Kami ini ibarat adik-beradik dan kawan rapat. Saya rasa sebab itu kami dapat bekerja satu kepala bersama-sama.

“Rasanya kalau nak lebih daripada itu, kami akan jadi pelik. Tapi, terserah kepada peminat untuk mengatakan apa saja, tapi saya dan Nuha hanya berkawan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.