Uncategorized

‘Perasan ada sebuah kereta mewah hitam’- Misteri Kehilangan Zalina, Jiraan Dedah Apa Yg Dia Nampak

Shah Alam: Bekas personaliti TV3, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu didakwa kurang bergaul dengan jiran tetangga.

Susulan itu, ada jiran hanya mengetahui Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman, 58, tinggal di kawasan perumahan mereka di Seksyen 3, di sini selepas hebahan polis dan berita kehilangan yang dilapor semalam.

Tinjauan di kediaman Zalina mendapati, keadaan rumah itu seperti sudah lama ditinggalkan dengan pagar rumah seperti dalam pembinaan.

Tinjauan sekitar kawasan rumah bekas personaliti TV3, Zalina Azman di Jalan Ketiau, Seksyen 3 Shah Alam yang dilaporkan hilang pada penghujung November tahun lalu. FOTO FAIZ ANUAR

Seorang penghuni kawasan itu, Mohammad Bokhari Shariff, 76, yang juga pemilik pusat tahfiz berkata, dia tidak pernah bersua muka dengan Zalina sejak wanita berkenaan pindah di situ beberapa tahun lalu.

“Saya lihat rumah itu sedang melalui proses ubah suai yang seakan-akan hendak dijadikan pejabat tetapi proses itu terhenti beberapa bulan sebelum kehilangannya, tahun lalu.

“Saya mengetahui kehilangannya sebaik polis datang menemui saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Bokhari, dia mengetahui Zalina membeli rumah itu beberapa tahun lalu apabila diberitahu oleh pemilik asal kediaman berkenaan.

“Namun saya rasa dia jarang tinggal di situ, cuma perasan ada sebuah kereta mewah hitam selalu parkir di rumah itu dan rasanya ia mungkin kereta dia (Zalina),” katanya yang sudah menetap di kawasan berkenaan lebih 40 tahun lalu.

Penghuni lain ketika ditemui berkata, tidak menyangka keluarganya berjiran dengan Zalina sehingga membaca berita kehilangan malam tadi.

Seorang jiran yang enggan dikenali pula mendakwa, anak bekas pembaca berita itu ada datang ke rumahnya bertanya mengenai Zalina pada hari kehilangannya.

Bagaimanapun jiran terbabit enggan mengulas lanjut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, setakat ini tiada maklumat terkini berhubung kes berkenaan sejak hebahan dibuat semalam.

“Sehingga kini tiada apa-apa perkembangan terbaru, siasatan masih diteruskan dan diklasifikasikan orang hilang,” katanya.

Semalam, media melaporkan polis giat mencari bekas personaliti TV3 itu yang dilaporkan hilang sejak November 2021.

Polis sebelum itu menerima laporan dibuat anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November 2021, untuk memaklumkan mengenai datuknya yang dimasukkan ke hospital.

kredit:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published.