Hiburan

“Sudikah awak menjadi isteri saya”-Tular Rakaman Azal lamar Neera Azizi, Zarina Zainuddin cerita perkara sebenar

PELAKON Zarina Zainuddin menerima kecaman segelintir netizen selepas dia memuat naik video anaknya Muhammad Raizal Azrai atau Azal ‘melamar’ Neera Azizi ketika sedang berada di sebuah lokasi penggambaran drama.

Meskipun ia hanya sekadar lakonan, ada menganggap Zarina tidak sensitif dengan keadaan Azal yang menghidap autism tahap sederhana dan ia boleh memberi kesan gangguan emosi terhadap anaknya itu.

Menerima setiap teguran dengan hati terbuka, bagi Zarina cara sebegitu adalah satu pendedahan untuk Azal lebih berani dan berdikari.

“Saya rasa ia terlalu serius dan bukan mahu mainkan perasaan dia (Azal). Sebagai ibu pastinya saya mahu menjaga hati anak. Saya mahu latih dia berdikari dan yakin.

Zarina ditegur kerana tidak sensitif dengan anak autism.

“Saya tahu sejauh mana hendak pergi dan apa yang boleh dilakukan. Azal pun dah reda soal jodoh dan dia tahu dirinya bagaimana,” katanya.

Dalam video tersebut, Azal dilihat menyarungkan cincin ke jari manis Neera selepas melamar pelakon itu untuk dijadikan isterinya.

Tindakan Azal itu disambut dengan gelak tawa orang sekeliling dan Neera sendiri dalam satu perkongsian di Instagram menegaskan ia hanyalah sekadar lakonan.

Dalam masa sama, Zarina juga memberitahu dia punya cara tersendiri dalam mendidik anak istimewanya itu supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik.

“Terima kasi atas komen dan ingatan. Ada yang marah dan menegur dan dari situ saya akan perbaiki kesilapan.

Sebagai ibu pastinya saya mahu menjaga hati anak. Saya mahu latih dia berdikari dan yakin

“Cuma saya ingin beritahu saya lebih kenal anak sendiri dan autism ini luas. Tidak ada yang sama antara satu dengan lain. Saya ada cara mendidik mengikut situasi sekeliling.

“Azal bukan 100 peratus normal tetapi saya melatih dia sekurang-kurangnya menjalani 80 peratus normal dan menjalani kehidupan yang sihat dari segi mental serta fizikal,” ujarnya.

Sementara itu menerusi ruangan komen, netizen meminta Zarina tidak lagi merakamkan video sebegitu kerana bimbang apa yang dilakukan boleh melukakan hati Azal.

Azal (kanan) mempunyai pasangan kembar iaitu Azil yang juga menghidap austism.

“Tak kelakarlah. Tak sweet pun. Jangan bawa bergurau perkara macam ini. Kesian budak tu. Apa punya mak? Siap post lagi.

“Tak bagus buat gurauan, anak-anak autism sangat sensitif. Mereka pun ada naluri macam orang normal.

“Pemikiran dia tidak sama dengan kita yang normal. Andai dia benar-benar rasa suka, bukankah sudah mengguris hatinya,” komen netizen.

“Apa lah korang dia practice berlakun jer ..macam macam andaian kkrang buat .. korang ni memang senang terhibur ke atau senang mengecam .. suka hati korang lah saya lebih kenal. anak saya hari2 dia berkepit dengan saya .. memang dia ada hati dengan perempuan cantik tapi dia tahu dia sapa ..sebab saya selalu ingatkan dia jodoh azal bidadari dari Syurga bukan di alam nyata ..” tulis Zarina

Biodata

1. Nama sebenarnya, Nurazneera binti Azizi. Dikenali sebagai Neera Azizi.

2. Kelahiran Bandar Melaka, negeri Melaka pada 11 Julai 1998.

3. Membesar di Kuantan, Pahang.

4. Berusia 21 tahun.

5. Merupakan pelakon, model dan penyanyi yang mula aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2016.

6. Kakaknya, Zeera Azizi juga terbabit sebagai pelakon dan penyanyi.

7. Pernah muncul menerusi single bergenre pop jazz berjudul ‘Rasa Hati’ ciptaan B-Heart.

8. Antara drama dibintanginya seperti Cinta Tangkap Muat, Sayangku Kapten Mukhriz, Patahnya Sebelah Sayap, Suri Hati Mr. Pilot, Miss Kapten Cikgu Waiz dan Andainya Takdir 2.

9. Termasuk telefilem Cik Sayur Encik Seafood dan Cik Celah Bedah.

10. Pembabitannya di layar perak menerusi filem Musyrik arahan Arjin Uppal.

11. Bergelar model dalam video muzik nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Menatap Dalam Mimpi dan Izzmad Harun berjudul Bulan Bintang.

Fakta Menarik

Beliau asalnya menanam cita-cita ingin menjadi juruterbang ketika di bangku sekolah. Namun sewaktu itu juga dia mula aktif di pentas teater termasuk menjayakan aktiviti seni.

Pembabitannya dalam dunia hiburan bermula selepas terpilih di uji bakat telefilem Cik Sayur Encik Seafood.

Rupa parasnya dikatakan mirip usahawan selebriti, Nur Sajat.

Peminat nombor satu pasukan bola sepak negara.

Pernah menimbulkan kontroversi gara-gara menyanyi ‘sumbang’ di program Malaysia Hari Ini (MHI) pada tahun 2018.

Pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Erwin Dawson.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.