Hiburan

Lirik lagu ‘Isabella’ pernah beberapa kali ditolak… Amy Search mula buka cerita pasal Bob Lokman

PEMERGIAN pelakon dan penulis lirik Bob Lokman turut dirasai oleh sahabat lamanya yang juga merupakan penyanyi lagu Isabella iaitu Datuk Amy Search.

Mengimbau kembali detik perkenalan dengan Allahyarham, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, menyifatkan arwah seorang yang sangat berbakat besar dalam penghasilan lirik lagu.

“Saya mula-mula jumpa Bob ketika dia masih bersekolah lagi. Arwah dikenali sebagai seorang yang kelakar.

“Ketika dia sudah berjinak menulis lagu, maka terhasil ciptaan Isabella yang mencetus fenomena dalam industri muzik,” katanya ketika sesi secara langsung bersama Astro Awani pada petang Jumaat.

Amy mengimbau memori sewaktu menghasilkan lagu Isabella.

Berkongsi cerita mengenai lagu Isabella, Amy berkata lirik ciptaan arwah itu pernah ditolak dan dirombak beberapa kali oleh Datuk M. Nasir.

“Lirik lagu ini merupakan kisah sebuah cinta yang tragis. Sewaktu Bob menulis lirik lagu tersebut, M.Nasir menyemak lirik terlebih dahulu.

“Beberapa kali juga lirik lagu itu ditolak, sampailah ia benar-benar mendapat kata putus dan dipersetujui ramai,” katanya.
Pemergian pelakon dan penulis lirik Bob Lokman turut dirasai oleh Amy Search.

Sementara itu, rakan penulis iaitu Habsah Hassan, 73, pula menyifatkan karya Allahyarham adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam industri muzik tanah air.

Kata Habsah lagi, meskipun Bob dilihat agak kasar namun arwah mempunyai hati yang lembut.

“Apa yang saya boleh katakan, Bob antara penulis lirik yang saya hormati. Setiap lirik yang dihasilkan mempunyai makna tersurat dan tersirat.

“Tak ramai penulis kita yang mempunyai keupayaan seperti Bob.

“Bob seorang yang kelakar, pandai ambil hati orang tapi Bob juga sangat sensitif.
“Walaupun mungkin kadang-kadang dia bercakap bunyi macam kasar, tetapi sebenarnya dia orangnya sangat berhati lembut,” ujarnya.

Sebelum ini, Amy dan Habsah pernah memberi sokongan dengan membeli nasi Arab jualan Bob demi menyara kehidupan hariannya.

Malah, beberapa rakan selebriti lain juga turut melakukan kutipan sumbangan untuk diberikan kepada arwah sewaktu dia dalam kesusahan satu ketika dahulu.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di Kubang Kerian, Kelantan kira-kira pukul 2 petang, Jumaat.

kredit:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published.