Uncategorized

Wanita Islam suka mengenakan pakaian tema Bollywood dalam menghadiri majlis, Sekali Dr. Malar suruh hati-hati buat ramai mula faham

PETALING JAYA – Pakar perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan tampil menegur wanita beragama Islam yang gemar mengenakan pakaian tema Bollywood dalam menghadiri pelbagai majlis.

Katanya, sambutan Deepavali yang lalu memperlihatkan ramai golongan muslimah memakai sari serta lengkap dengan perhiasan ala Bollywood bagi memeriahkan perayaan tersebut bersama rakan-rakan.

“Saya terpanggil untuk tegur sedikit apabila ramai yang mengenakan pakaian tema Bollywood ini terutamanya wanita Islam.

“Pemakaian tema Bollywood ini mempunyai dua komponen, satu komponen bangsa India dan kedua komponen agama Hindu,” katanya menerusi akaun TikTok, Celoteh Dr. Malar hari ini.

Katanya, terdapat sebahagian besar wanita Islam yang tidak tahu membezakan budaya serta komponen agama Hindu itu sendiri ketika mengenakan pakaian dan perhiasan tema Bollywood.

“Jadi, kalau anda nak pakai tikka di atas dahi dan kepala, pakai sari, pakai rantai cantik, gelang itu tidak ada masalah kerana itu adalah budaya

“Tetapi saya ada tengok rakan-rakan beragama Islam ada pakai pottu, ia tidak boleh kerana ia merujuk kepada agama Hindu.

“Sepatutnya pottu berwarna merah dipakai oleh wanita sudah berkahwin dan warna hitam untuk yang belum, dan khusus untuk yang beragama Hindu, tapi ini pun agak berubah mengikut kawasan geografi mereka di India,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Malar mengingatkan wanita Islam untuk tidak mudah terikut-ikut dengan pemakaian tema Bollywood sehingga boleh melanggar hukum agama.

“Sebagai seorang yang beragama Hindu dan banyak berkawan dengan orang-orang Islam terutamanya, saya tahu bagaimana kawan-kawan saya sangat menjaga hukum syirik, haram dalam agama Islam.

“Jadi berhati-hati ketika anda mengenakan tema Bollywood dan jangan sampai tersasar, ambil yang budaya sahaja, berhati-hati dengan komponen agama Hindu,” pesannya.

KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *