PELAKON Song Joong Ki berkongsi khabar gembira apabila dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya iaitu Katy Louise Saunders tidak lama lagi.
Joong Ki memaklumkan dia juga sudah membuat pendaftaran pernikahan mereka berdua.
“Kami impikan hidup gembira bersama. Kami berusaha untuk sentiasa berpegang pada janji antara satu sama lain dan bersyukur menyambut kehadiran orang baru (anak) dalam hidup kami.
“Hari ini (Isnin) dengan penuh kepercayaan dan kasih sayang antara satu sama lain, kami kini dalam perjalanan pulang selepas mendaftarkan perkahwinan untuk memulakan hidup bersama sebagai pasangan suami isteri,” katanya.
Song Joong Ki kini dalam fasa bahagia.
Sementara itu pelakon drama Reborn Rich ini juga menyifatkan kekasihnya itu sebagai seorang wanita yang baik dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjayanya.
“Saya berjanji untuk hidup bersama Katy Louise Saunders yang selama ini sentiasa di sisi saya. Dia seorang wanita yang baik dan saya amat menghormatinya.
“Terima kasih kepada dia kerana kehadirannya menjadikan saya lelaki yang lebih baik,” ujarnya.
Pada hujung Disember tahun lalu, Joong Ki mengesahkan hubungan cintanya dengan Saunder dan wanita itu turut diperkenalkan dalam satu sidang media yang berlangsung di Singapura sebelum ini.
Joong Ki pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Song Hye Kyo pada 2017 selepas sama-sama terlibat dalam penggambaran drama Descendant of the Sun.
Bagaimanapun hubungan mereka tidak bertahan lama dan berpisah pada Julai 2019.
Tapi, siapa Katy Louise Saunders?
Dia dilahirkan oleh bapa yang berwarganegara British dan ibu daripada Columbia di London, England, pada 21 Julai 1984, menjadikannya usia 38 tahun iaitu hanya setahun lebih tua daripada Song Joong Ki.
Oleh kerana profesion bapanya, yang memerlukan keluarga untuk berpindah, dia dibesarkan di antara London dan Itali. Jadi, dia belajar di sebuah sekolah Inggeris di Rom sebelum mendapat ijazah sarjana muda dalam pentadbiran perniagaan daripada Universiti Bocconi di Milan.
Saunders membuat debut sebagai pelakon dalam filem drama romantik Itali 2002, Un viaggio chiamato amore (dilancarkan di peringkat antarabangsa sebagai A Journey Called Love or A Scandalous Journey),
Drama yang diarahkan Michele Placido dihasilkan berdasarkan kisah benar tentang hubungan yang cukup menyekakan antara penulis Sibilla Aleramo dan penyair Dino Campana. Dia melakonkan watak Laura Morante, versi Sibilla Aleramo yang lebih muda.
Saunders kemudian telah muncul dalam beberapa filem dan televisyen, yang mana kebanyakannya adalah bahasa Itali. Pada tahun 2013, dia telah membawakan watak Gina dalam filem Third Person pada 2013, yang dibintangi Liam Neeson, Mila Kunis dan Olivia Wilde.
Saat ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana Song Joong Ki dan Saunders bertemu sedangkan mereka tidak pernah bekerjasama dalam mana-mana projek drama atau filem.
Ya, itu memang menjadi persoalan yang utama, apatah lagi Saunders dilaporkan agak kurang aktif berlakon, lebih-lebih lagi selepas menjadi guru bahasa Itali ketika ini.
Malah, dia sendiri memang jarang aktif di media sosialnya. Dan hal ini cukup berbeza dengan Song Joong Ki! –
kredit: mstar
Leave a Reply