FILEM Mentega Terbang menjadi topik perbualan hangat kerana didakwa menghina agama Islam selain memaparkan kandungan menyentuh sensitiviti masyarakat.
Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan hujah mengenai kebimbangan yang dicetuskan oleh filem tersebut.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini, watak dalam Mentega Terbang berjaya mengetengahkan beberapa tema positif dari segi semangat kekeluargaan dan perpaduan antara kaum.
Namun begitu, Zulkifli berkata cara penyampaian mesej dalam Mentega Terbang itu mudah untuk disalahertikan dan boleh memesongkan akidah.
“Filem Mentega Terbang menimbulkan pelbagai bentuk keraguan yang mungkin bertujuan untuk bersikap kritis terhadap agama dan membuka pilihan kepada penonton untuk memilih kebenaran yang mereka yakini.
“Tetapi ia mengabaikan keterbatasan penonton dari sudut ilmu, pengalaman dan pengaruh sekeliling. Dalam Islam, peranan manusia dalam proses pemerolehan ilmu dan kebenaran, mesti selari dengan mengakui akan kewujudan dan peranan Allah.
“Allah adalah sumber ilmu dan kebenaran yang hakiki, sehingga tidak ada ilmu dan kebenaran yang dicapai manusia tanpa proses mengenali Allah,” ujar Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan.
1. Pluralisme agama
Seterusnya Zulkifli menjelaskan ada terselit unsur pluralisme agama dalam filem Mentega Terbang iaitu satu fahaman yang menyatakan semua agama adalah benar dan merupakan jalan menuju ke arah tuhan.
“Pluralisme agama adalah mengenai semua agama boleh dianggap sebagai jalan yang boleh memberikan keselamatan, kebebasan dan pencerahan. Kesemuanya adalah benar, kerana pada dasarnya mereka menuju kepada kebenaran yang sama, iaitu Tuhan.
“Ironinya, pemahaman sebegini akhirnya akan membawa satu lagi kecelaruan iaitu ‘kebenaran relatif’ yang mutlak. Pluralisme agama secara tersirat telah menafikan, atau sekurang-kurangnya merendahkan kebenaran mutlak yang sebenar.
“Tuntutan pluralisme agama membawa implikasi berbahaya kepada manusia sama ada yang bersifat teori, epistemologi dan metodologi, atau yang bersifat ideologi dan akidah, atau yang berkaitan dengan isu yang lebih praktikal, kebebasan beragama.
“Paling penting, sehingga hari ini kita belum temui bukti fahaman pluralisme agama ini mampu menyelesaikan isu pertelingkahan dan mewujudkan toleransi yang sebenar antara agama tanpa menggadaikan prinsip akidah masing-masing,” jelas Zulkifli.
Zulkifli menyentuh mengenai konsep kelahiran semula dalam filem Mentega Terbang.
2. Kelahiran semula
Selain itu Zulkifli mengatakan dalam filem Mentega Terbang ada dimasukkan konsep kelahiran semula yang bertentangan dengan Islam.
“Konsep perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad yang lain wujud dalam pelbagai agama selain Islam.
“Ia berasal daripada beberapa buah agama dan falsafah kerohanian seperti Hindu, Buddha, sebahagian ajaran Greek, ajaran Mesir Purba, dan sebahagian agama-agama di Afrika.
“Dalam filem Mentega Terbang, saya beranggapan Aisyah (watak filem) masih kekal Muslim walaupun ayahnya terbuka untuk anak murtad.
“Pun begitu, Aisyah seakan percaya kepada konsep kelahiran semula apabila melihat seekor kupu-kupu (butterfly) yang hinggap di batu nisan ibunya dan tersenyum puas,” ujar Zulkifli.
Zulkifli seterusnya menekankan terdapat banyak dalil Al-Quran berkenaan mereka yang meninggal dunia akan sama ada diberi nikmat atau diazab, bukannya berpindah ke tubuh individu lain yang masih hidup.
“Salah satu hujah untuk menentang kelahiran semula ialah isu identiti individu. Berdasarkan konsep kelahiran semula, adalah sukar untuk menentukan sama ada seseorang yang telah meninggal dunia dan dilahirkan semula adalah individu yang sama yang pernah hidup sebelum ini.
“Jika roh atau kesedaran dilahirkan semula dalam jasad baharu, bagaimana kita boleh memastikan bahawa ia adalah individu yang sama dan bukan hanya kemiripan atau individu berbeza?
“Selain itu, keraguan yang timbul adalah masalah pada memori. Jika roh atau kesedaran seseorang dilahirkan semula dalam badan baharu, mengapa mereka tidak mengingati kehidupan lampau mereka?
“Jika diri sentiasa melintasi badan yang berbeza, maka seseorang mungkin menjangkakan kenangan atau pengalaman dari kehidupan lampau akan dibawa ke yang kelahiran yang baharu,” terang Zulkifli.
Zulkifli mengatakan perbandingan agama dalam filem Mentega Terbang dibuat bersama mereka yang tidak mempunyai kepakaran. (Gambar sekadar hiasan, Freepik)
3. Perbandingan antara agama
Zulkifli menyentuh juga berkenaan amalan perbandingan agama yang diterapkan dalam filem Mentega Terbang.
“Sejak daripada permulaan filem, kita ditunjukkan dengan minat Aisyah yang mendalam terhadap agama-agama lain. Beliau membaca Bible malah berbincang dengan ibu bapanya berkenaan Kristian di meja makan.
“Beliau juga bertanyakan Suresh tentang Veda. Kesungguhan beliau itu secara asasnya tidak menjadi masalah kerana Islam mengiktiraf ilmu perbandingan agama.
“Persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam ialah bapanya yang agak berbeza daripada peribadi Muslim yang lain (bertatu, berseluar pendek dan terbuka untuk anaknya murtad),” kata Zulkifli.
4. Melanggar sensitiviti agama
Zulkifli juga mengatakan filem Mentega Terbang mempunyai banyak babak yang tidak menghormati sensitiviti agama di Malaysia.
“Semua agama menganjurkan penganutnya menghormati agama lain dan menjalankan tindakan yang bermoral dan beretika walaupun kepercayaan dan amalan agama yang berbeza.
“Akan tetapi, terlalu banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama-agama lain yang saya temui dalam filem ini.
“Saya yakin, tidak ada penganut Kristian yang baik dan cakna dengan sensitiviti, sanggup membawa masuk anjing ke dalam kawasan rumah seorang Muslim. Saya juga yakin, seorang Hindu yang baik juga tidak akan memakan daging lembu sebagaimana perlakuan Suresh.
“Sebagaimana saya juga yakin, seorang Muslim yang baik dan menghormati mazhab setempat tidak akan menyentuh anjing tanpa sebab. Tambahan pula, seorang Muslim yang baik tidak akan sesekali mencuba mencabar syariat-Nya dengan makan pau berintikan daging babi sebagaimana perlakuan Aisyah,” kata Zulkifli. – Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Seniman tunggu siasatan Mentega Terbang
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyerahkan satu salinan laporan polis kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkenaan filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi.
Menerusi hantaran di Instagram Seniman, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah menyerahkan salinan itu kepada Fahmi dalam pertemuan yang berlangsung semalam.
“Semalam, Setiausaha Agung Seniman sudah menyerahkan salinan laporan polis kepada menteri untuk perhatian dan tindakan segera.
“Yang Berhormat Menteri menyatakan bahawa pihak agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap isu itu, termasuklah pihak polis,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Seniman memaklumkan pihaknya akan terus menantikan hasil siasatan dari masa ke semasa.
“Seniman akan terus menanti hasil siasatan dan akan dari masa ke semasa, memantau proses itu secara dekat. Terima kasih Yang Berhormat Menteri, Fahmi Fadzil atas cakna berkenaan dengan isu ini,” tulisnya.
Terdahulu, Hafiz tampil membuat laporan polis dan sidang media berkenaan isu kontroversi membabitkan filem Mentega Terbang, di Balai Polis Dang Wangi.
Leave a Reply