KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Pada prosiding itu, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, diwakili peguam syarie Roshdan Sujak.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.
“Tambahan pula, saya bersama anak-anak tidak lagi tinggal bersama suami, sama ada di rumah mentua mahupun di rumah kelamin. Hal ini berikutan akibat tekanan dan gangguan yang berpunca daripada pihak ketiga sehingga telah lama tidak pulang ke rumah.
Jalan sambil tangan dalam kocek, Syamsul Yusof tiba di mahkamah kes sebutan cerai
“Saya percaya oleh kerana tiadanya persefahaman antara kedua-dua pihak maka saya percaya jika diteruskan (perkahwinan) mungkin akan mendatangkan lebih kemudaratan kepada kedua-dua pihak, khususnya diri saya, emosi saya serta anak-anak” katanya menurut dokumen itu.
Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.
Sebelum ini media hiburan melaporkan kepincangan rumah tangga Syamsul mungkin memasuki fasa baharu berikutan isterinya, Puteri Sarah akan memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah di sini.
Media turut melaporkan melalui menerusi coretan di Instagram Syamsul mengharapkan agar kedua-dua isterinya iaitu Puteri Sarah dan Ira Kazar bertenang serta banyak bersabar.
Syamsul akhirnya mendedahkan sudah bernikah dengan anak pelakon veteran, Kazar Saisi iaitu Ira Kazar di Thailand.
Pendedahan tersebut membuatkan isteri pertamanya, Puteri Sarah menarik nafas lega kerana suaminya sudah mengaku berkahwin dua namun memberitahu banyak perkara yang tidak benar didedahkan Syamsul dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.
Bagaimanapun Puteri Sarah mendakwa dan menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang pengecut dan mendedahkan dia telah disekat oleh Syamsul dalam aplikasi WhatsApp selama setahun.
‘Saya sudah lama reda’ – Puteri Sarah
“Saya sudah lama reda.”
Demikian kata pelakon Puteri Sarah ketika ditanya perasaan dirinya yang bakal berdepan kes perceraian dengan suami juga pengarah terkenal Syamsul Yusof, di Mahkamah Syariah, di sini, pagi ini.
Puteri Sarah, 38, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia juga lebih tenang selain mendapat sokongan daripada keluarga dan ibu bapa mentua.
“Hari ini saya berpuasa dan sebelum keluar rumah tunaikan solat sunat dua rakaat. Saya berharap hari ini akan bermula buku baharu dalam hidup saya.
“Kalau nak ditanya soal perasaan, sejujurnya hari ini saya lebih tenang. Saya percaya Allah sudah tulis dan aturkan yang terbaik buat saya dan anak-anak. Apa pun yang terjadi hari ini, ia adalah ketentuan Allah SWT.
“Kedua ibu bapa saya tak datang hari ini begitu juga kedua mentua. Saya tahu mereka sedih. Tapi, jauh di sudut hati mereka tetap mahukan saya gembira dan membahagiakan diri sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya apakah perasaan untuk berjumpa Syamsul hari ini, Puteri Sarah berkata dia biasa-biasa saja.
“Sejujurnya, saya sudah lebih setahun tak berjumpa dengannya,” katanya ringkas.
Media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah nekad untuk memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu apabila tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua pada awal tahun ini.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
KOSMO! ONLINE
Leave a Reply