
Kuala Lumpur: Keputusan permohonan injunksi yang difailkan suami pelakon Miera Leyana, Rosland Othman, 50, ke atas isteri pertamanya, Adibah Abdul Mutalib, 50, pada 18 Mei lalu ditolak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Permohonan injunksi itu dibuat Rosland bagi menghalang Adibah, keluarga, rakan-rakan dan ‘ejen-ejen Adibah’ daripada membuat sebarang kenyataan di mana-mana platform media sekali gus memberi gangguan kepada dirinya.
Adibah berkata, dia bersyukur dengan keputusan yang diputuskan mahkamah berhubung kes injunksi yang difailkan suaminya sebelum ini selaku pemohon.
“Saya tak ada apa nak cakap. Cuma, syukur Alhamdulillah, kita di pihak yang benar. Insya-Allah,” katanya ringkas diiringi peguam mewakilinya, Junid Ramali dan Md Taufeq Al Amin Sahri.
Sementara itu, Junid berkata sebutan kes hari ini berkaitan keputusan injunksi yang difailkan pihak pemohon (Rosland) untuk menghalang responden (Adibah) mengeluarkan apa-apa kenyataan yang dianggap sebagai boleh menjatuhkan kredibilitinya ataupun mendedahkan apa-apa fakta berkenaan dengan kes.
“Jadi, syukur untuk hari ini keputusan berpihak kepada Adibah. Malah, responden turut dianugerahkan dengan kos berupa sejumlah amaun yang ditetapkan untuk Rosland membayar kepadanya,” katanya.
Difahamkan, permohonan injunksi Rosland itu ditolak apabila dia gagal membawa bukti yang kukuh untuk menyokong kesnya, maka mahkamah tiada sebab untuk menimbangkan permohonannya selaku pemohon dan ia ditolak.
Rosland yang hadir ke mahkamah hari ini diwakili peguamnya, Nurul Balqis Nordin dari Amli & Associates serta ditemani ibu Miera (mentua), Aisah Abdullah dan dua adik-beradiknya, Kamarul dan Mohd Hafeez.
Pada 25 Mei lalu, prosiding permohonan injunksi oleh Rosland terhadap Adibah dilakukan di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamed Fouzi Mokhtar.
Sebelum ini, Rosland memfailkan permohonan cerai terhadap Adibah pada 7 April lalu mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Media ada melaporkan, Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan Miera Leyana pada Julai 2020.
Leave a Reply