
Balik Pulau: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan dapatan sebuah tinjauan yang mencadangkan hanya satu daripada empat orang Melayu di negeri terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) berpuas hati dengan prestasi beliau sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kajian oleh Ilham Centre pada bulan lalu yang turut mendapati hanya 24 peratus orang Melayu berpuas hati dengan prestasinya sebagai ‘analisis cacat’.
“Saya tak setuju dengan itu, ia adalah ‘flawed analysis’ (analisis cacat). Mungkin mereka ambil perbandingan antara Kelantan dan Selangor.
“Banyak lagi negeri kami lakukan dengan sangat baik. Kami sangat optimis,” katanya ketika ditemui pemberita ketika ditemui di Masjid Qaryah Kampung Perlis di sini, hari ini.
Semalam, sebuah portal dalam talian melaporkan dapatan itu diperoleh berdasarkan tinjauan membabitkan 2,416 responden yang dipilih secara persampelan rawak berstrata di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama penduduk Kampung Perlis dan mendengar khutbah bertajuk Istiqamah Berubah ke Arah Kebaikan yang disampaikan khatib yang juga imam, Muhammad Arief Bakri.
Selepas mengerjakan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni jemaah yang hadir selain sempat memotong dan menjamah kek pulut kuning yang disediakan khas oleh penduduk sempena sambutan hari lahirnya.
Leave a Reply