
Marang: Perikatan Nasional (PN) masih boleh menukar Kerajaan Perpaduan sekalipun tidak memenangi semua enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, walaupun tidak dapat merampas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, tapi banyak kerusi yang dimenangi Pas.
“Ini menunjukkan undi protes terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH), walaupun tidak menang di tiga negeri, perubahan kerajaan tetap boleh berlaku.
“Kita tahu DAP kini mengalami krisis dalaman seperti pemilihan calon pada PRN, menyerang Umno pada pilihan raya dan sebagainya.
“Jadi, gabungan mereka tidak kukuh, yang stabil buat masa sekarang hanyalah PN,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN di sini, malam tadi.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun menamakan kerajaan mereka Kerajaan Perpaduan, tetapi ia tidak memenuhi istilah perpaduan.
“Kita melihat PH perlu mempunyai 80 kerusi terlebih dulu disamping Sabah, Sarawak dan BN yang memberi dokongan macam sementara waktu sahaja.
“Malah, kita difahamkan ada SD yang dibuat seterusnya dibentuk kerajaan sebegitu rupa manakala ahli parlimen dari BN termasuk Sabah dan Sarawak menunjukkan sikap tidak senang, jadi pembangkang atas kerajaan, itu yang berlaku.
“Keadaan ini kita mengharapkan akan menyaksikan perubahan untuk menyokong kita (PN) dengan mendapat majoriti untuk PN mengambil alih kerajaan,” katanya.
Abdul Hadi berkata, pertukaran kerajaan adalah amalan biasa dalam demokrasi yang mana undi tidak percaya, SD dan sebagainya.
“Anjakan baharu ini akan memberi perubahan maknanya ia menunjukkan sokongan rakyat terhadap PH sudah merosot dan peratus undi merosot ini adalah undi protes terhadap PH,” katanya.
Pada PRN Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas mengekalkan tiga negeri membabitkan kemenangan bergaya Terengganu, Kedah dan Kelantan manakala berlaku pertambahan kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
kredit:mkini
Leave a Reply